Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 May, 2011

SMK Simanggang lancar Alumni pada September ini



Caption: UNTUK ALBUM...Masir (dua kanan) bersama Ibrahim (kanan sekali) ketika bersama kakitangan guru SMK Simanggang dan bekas pelajar pada sidang media berkenaan.

SRI AMAN, Ahad (29 Mei) – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simanggang bakal melancarkan Persatuan Alumni SMK Simanggang atau PASIMA pada hujung bulan September depan.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat berkata demikian ketika berlangsungnya sidang media sempena sambutan Jubli Emas SMK Simanggang bertempat bilik gerakan sekolah tersebut baru-baru ini.

Beliau yang merupakan bekas pelajar sekolah terbabit dari tahun 1973 hingga 1974 berkata penubuhan alumni tersebut dilihat mampu memberi sumbangan terhadap pembangunan pendidikan sekolah selepas ini.

“Signifikan penubuhan PASIMA adalah memperkasa semangat perpaduan di kalangan bekas pelajar untuk memajukan sekolah disamping menyediakan ruang bagi mereka untuk berkongsi idea serta kemahiran demi kepentingan sekolah,” katanya.

Selaku bekas pelajar sekolah berkenaan Masir telah melahirkan rasa cukup gembira berhubung perubahan dan pencapaian yang telah dilakukan oleh SMK Simanggang sepanjang 50 tahun yang lepas.

Sementara itu dua orang bekas pelajar SMK Simanggang iaitu Dr Abang Hud Abang Engkeh dan Saiful Sungkih bersetuju dengan penubuhan PASIMA yang dilihat mempunyai fungsi penting seperti PIBG dalam memajukan sesebuah sekolah.

Terdahulu PASIMA telah didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan pada 23 Febuari lepas dan telah mempunyai seramai 565 orang ahli berdaftar hingga sekarang

Pelancaran PASIMA dan laman web SMK Simanggang iaitu smksimanggang.net pada bulan September nanti diadakan bersempena dengan Sambutan Jubli Emas sekolah tersebut.

Selaku sekolah menengah kedua tertua selepas SMK Saint Luke di Sri Aman, SMK Simanggang telah mengadakan banyak aktiviti bermula bulan Februari lepas bersempena dengan sambutan jubli emas terbabit.

Antara aktiviti itu adalah kejohanan olahraga padang (25 hingga 26 Februari lepas), mesyuarat agung PIBG (14 Mei lepas), asrama terbuka dan hari permuafakatan PIBG (26 hingga 27 Mei lepas), jogahthon Jubli Emas (25 Jun), pertandingan futsal (4 hingga 8 Julai) dan Malam Seribu Bintang Jubli Emas (24 September).

Kemuncak sambutan Jubli Emas ini ialah Malam Seribu Bintang di Dewan Suarah Sri Aman dengan Tayangan Slide Show, Pengedaran Penerbitan Khas sepanjang 50 tahun SMK Simanggang, hiburan, mengumpul bintang-bintang, pelancaran Laman Web dan Persatuan Alumni SMK Simanggang menjadi acara menarik pada sambutan majlis itu.

Hadir sama pada sidang media terbabit adalah Pengetua SMK Simanggang, Haji Ibrahim Jemain dan para kakitangan sekolah yang lain.

Tamat.

No comments:

Post a Comment