Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 August, 2010

Sri Aman boleh maju dengan pesat - Harden


Caption: MANFAATKAN...Harden (kiri) ketika menyampaikan cek MRP kepada Jong (kanan) sambil disaksikan oleh ahli persatuan yang lain.

SRI AMAN, Rabu – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang boleh maju dengan lebih pesat sekiranya Barisan Nasional (BN) terus meneraju pembangunan di daerah ini selepas pilihan raya kelak.

Wakil rakyatnya, Datuk Francis Harden anak Hollis memberitahu Sri Aman pada masa sekarang sudah mula menunjukkan proses transformasi pembangunan yang pesat dalam tempoh lima tahun yang lepas.

Menurut beliau bukti transformasi pembangunan ini mula tampak nyata dengan adanya projek pembinaan bangunan komersial pelbagai fungsi di kawasan tapak Bandar Sri Aman yang baru pada masa sekarang.

Beliau yang juga Menteri Muda Kemajuan Tanah berkata demikian ketika berucap ringkas pada upacara penyampaian cek peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Persatuan Teksi Simanggang baru-baru ini.

“Selain projek pembinaan bangunan komersial, kerajaan juga turut memberi fokus terhadap projek pembangunan tanah seperti penanaman kelapa sawit di kawasan Undop, Batu Lintang, Sri Aman.

“Malahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) juga turut disalurkan ke 80 peratus kawasan penempatan penduduk dalam DUN Simanggang semenjak dari dulu hingga sekarang menerusi peruntukan yang disedia oleh kerajaan BN,” katanya.

Harden menambah proses transformasi pembangunan yang pesat di Sri Aman khususnya dalam kawasan bandar sepatutnya menyedarkan penduduk tentang betapa pentingnya peranan BN dalam mempertingkatkan taraf kebajikan hidup mereka.

“Jika penduduk masih sayangkan proses pembangunan ini maka sokonglah BN dari masa ke semasa. Jangan merugikan masa depan hidup mereka dengan menyingkirkan BN dari kawasan DUN Simanggang selepas ini,” katanya.

Terdahulu Harden telah menyampaikan cek MRP bernilai RM2,000 kepada Pengerusi Persatuan Teksi Simanggang iaitu Jong Sie Fah sambil disaksikan oleh ahli persatuan yang lain di perkarangan parkir teksi dalam bandar Sri Aman.

Tamat.

No comments:

Post a Comment