Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 August, 2010

Penduduk Lubok Antu tiada karan tiada air 2- 5 Ogos

SRI AMAN, Khamis (5 Ogos) – Penduduk dari kawasan Lubok Antu telah mempersoalkan kelambatan pihak berwajib berhubung masalah ketiadaan bekalan elektrik dan air bersih yang melanda kawasan pekan dan beberapa buah kampung di situ semenjak tiga hari lepas.

Penduduk yang memperkenalkan dirinya sebagai Maukreen menerusi panggilan telefon ke Utusan Sarawak hari ini mendakwa masalah berkenaan mula timbul apabila tiga tiang elektrik di Sepelu telah patah akibat ditimpa pokok getah yang tumbang akibat kejadian ribut pada petang hari Selasa lepas.

“Akibatnya kawasan Lemanak hingga ke Pekan Lubok Antu mengalami masalah ketiadaan bekalan elektrik sehingga ke hari ini (Khamis). Pihak berwajib memang bekerja namun kelambatannya yang menjadi masalah kami pada masa sekarang,” menurut beliau.

Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Lonnek mendakwa ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) di kawasan Sebeliau, Lubok Antu mengalami masalah untuk mengepam bekalan air bersih kepada beberapa buah kawasan penempatan penduduk dalam daerah Lubok Antu.

Penduduk dari kawasan Lemanak hingga ke Pekan Lubok Antu dakwa beliau kini bergantung penuh kepada bekalan air dari beberapa batang sungai dalam daerah Lubok Antu sementara menanti bekalan air dari JKR pulih sepenuhnya selepas ini.

Sementara itu Utusan Sarawak yang menelefon seorang peniaga dari Pekan Lubok Antu berhubung masalah ini mendakwa bahawa pihaknya mengalami banyak kerugian disebabkan oleh perkara terbabit.

Beliau yang enggan namanya didedahkan memberitahu ramai peniaga runcit bertindak membuang ikan, daging ayam dan lain-lain produk sejuk beku disebabkan oleh ketiadaan bekalan elektrik berkenaan semenjak hari Selasa lepas.

“Tanpa elektrik daging ikan, ayam dan lain-lain produk sejuk beku tidak dapat disimpan dalam peti ais. Akibatnya saya dan peniaga yang lain terpaksa menanggung kerugian berhubung masalah ketiadaan bekalan eletrik berkenaan,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak ketika dihubungi memberitahu bahawa beliau telah pun menghubungi Pengurus Wilayah SESCO Sri Aman berhubung masalah berkenaan untuk tujuan tindakan lanjut.

“Masalah timbul apabila kontraktor berwajip menghadapi masalah kekurangan pekerja untuk memperbaiki semula kerosakan berkenaan. Saya sudah pun memaklumkan pihak SESCO untuk membaiki kerosakan ini dengan menambah jumlah pekerja mereka,” katanya.

Nyalau yang kesal dengan masalah ini mahu pihak SESCO Sri Aman menyelesaikan segara masalah ketiadaan bekalan elektrik untuk penduduk dalam kawasan Lubok Antu selepas ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment