Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 August, 2010

Pemilik Tanah NCR diminta selesai pertelingkahan - Harden


Caption: PENGHARGAAN...Shaharuddin (kiri) ketika menyampaikan cenderamata kepada Harden (kanan) pada majlis itu baru-baru ini.

SRI AMAN, Isnin (16 Ogos) – Pemilik Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) diminta untuk menyelesaikan pertelagahan antara satu sama yang lain bagi membolehkan kerajaan melaksanakan kerja menyukat dan mempersempadankan tanah masing-masing selepas ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata demikian kepada pemberita ketika diminta untuk mengulas mengenai perkembangan terkini usaha kerajaan untuk menyukat Tanah NCR penduduk Sarawak menerusi peruntukan RM20 juta yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat sebelum ini.

Katanya kerja menyukat dan mempersempadankan tanah tidak dapat dilaksana sekiranya pemilik tanah NCR masih berbalah mengenai kawasan tanah masing-masing dari masa ke semasa.

“Pihak Kementerian Kemajuan Tanah Sarawak kini dalam proses persediaan untuk memulakan kerja survei perimeter terhadap semua tanah NCR milik penduduk dalam negeri ini.

“Bagaimanapun ia sukar dilaksana selagi pemilik tanah NCR iaitu mereka yang ada menyertai projek penanaman sawit sering bertelagah berhubung hal sempadan tanah masing-masing. Kerja survei perimeter boleh dilaksana dengan syarat sekiranya pertelagahan antara mereka boleh diselesaikan,” katanya.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban telah merasmikan Majlis Serah Bantuan Peningkatan Produktiviti Getah (BPPG) anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bertempat di Rumah Empol Belitang, Sungai Tengga, Undop, Batu Lintang, Sri Aman malam kelmarin.

Pihak kementerian kata beliau juga sering turun padang dengan mengadakan dialog bersama pemilik tanah NCR dalam negeri ini bagi menerangkan dasar pembangunan tanah kerajaan disamping menyelesaikan perbalahan di antara mereka.

Justeru Harden meminta bantuan ketua kaum terutama sekali Tuai Rumah dan Penghulu untuk menyelesaikan perbalahan berhubung isu tanah dikalangan anak buah masing-masing demi membolehkan kerja penyukatan tanah mereka dilaksana oleh kerajaan selepas ini.

“Bagaimanapun usaha kerajaan berhubung perkara ini akan bertambah sukar sekiranya wujud pihak tertentu yang cuba menghasut pemilik tanah NCR untuk tidak bekerjasama dengan kerajaan di masa akan datang,” menurut beliau.

Hadir sama ialah Pegawai RISDA Bahagian Samarahan, Shaharuddin Saberi, timbalannya Azman Hassan, Pemaju Masyarakat RISDA dari kawasan Sri Aman, Isaac Stalin Simon dan Warren Sambau, para ketua kaum serta kakitangan RISDA di sini.

Harden menerusi majlis itu telah menyaksikan simbolik penyerahan BGGP yang mencatatkan nilai keseluruhan bernilai RM35,000 kepada 39 orang penerima dari Rumah Empol (Sungai Tenggak), Rumah Gani (Sungai Tenggak), Rumah Jawi (Sungai Tenggak) dan Rumah Silai, Radau.

Tamat.

No comments:

Post a Comment