Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 June, 2009

Utamakan budaya sendiri berbanding budaya luar kata Nyalau


Caption: PENGHARGAAN...Nyalau (kiri) sedang menerima cenderamata dari Tr Will (kanan) sambil disaksikan oleh Rayong (tengah) ketika berlangsungnya majlis semalam.

SRI AMAN, Sabtu (13 Jun) – Orang Dayak perlu mengutamakan budaya dan ‘main asal’ milik kaum mereka sendiri ketika menyambut perayaan Gawai pada setiap tahun kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Menurut beliau, orang Dayak semenjak akhir-akhir ini lebih banyak mengamalkan budaya dari luar negara terutamanya dari segi tarian berbanding dengan budaya milik kaum mereka sendiri ketika menyambut perayaan Gawai.

“Misalannya ada di antara orang Dayak kita yang lebih suka mempertengahkan tarian Poco-Poco ketika menyambut perayaan Gawai di rumah panjang masing-masing daripada mempertengahkan tarian Ngajat yang telah diamalkan oleh kaum kita semenjak turun-temurun.

“Ini satu perkembangan yang tidak positif. Sepatutnya orang Dayak lebih mengutamakan persembahan Tarian Ngajat dan lain-lain main asal seperti Beramban dan Bedungai ketika berlangsungnya perayaan Gawai dan bukannya menjadikan persembahan tarian Poco-Poco sebagai yang paling utama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Merarau sempena Perayaan Gawai anjuran Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Rumah Will, Stuga, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman semalam.

Perayaan Gawai kata Nyalau mungkin kehilangan identiti asalnya sekiranya budaya luar menjadi suatu kemestian dalam memeriahkan suasana sambutan perayaan berkenaan apabila budaya dan adat main asal kaum Dayak itu sendiri kata Nyalau tidak lagi diamalkan pada masa akan datang.

Sementara itu beliau juga turut menasihatkan orang Dayak untuk menghidupkan kembali semangat kunjung-mengunjungi dari satu rumah panjang ke rumah panjang yang lain ketika berlangsungnya perayaan Gawai selepas ini.

Ini kerana amalan tersebut menurut beliau mula berkurangan apabila orang Dayak hanya mengamalkan budaya kunjung-mengunjungi dikalangan jiran dalam rumah panjang mereka sendiri dan bukannya jiran rumah panjang mereka yang lain.

“Perayaan Gawai pada zaman dahulu dianggap amat meriah kerana rombongan penghuni rumah panjang yang satu ini mengunjungi penghuni rumah panjang dari kawasan kejiranan yang dekat.

“Namun senario nampaknya mula hilang. Jadi untuk mengekalkan semangat rumpun orang Dayak, saya menyeru anda semua untuk menghidupkan kembali tradisi ini pada perayaan Gawai akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Pegawai Penerangan Parlimen P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba, Pembantu Luar Kanan JASA Engkilili, Edwin Ancheh dan para ketua kaum dari sekitar daerah kecil berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment