Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 June, 2009

Kempen derma darah PBSM dan Bank Darah dapat sambutan


Caption: KEBAJIKAN...Inspektor Slyvarius Gopoh dari Ibupejabat Polis Daerah Sri Aman sedang menderma darah ketika berlangsungnya program berkenaan di sini semalam. Foto: ZULIA HAJI JEMAT


SRI AMAN, Isnin (15 Jun) – Program Derma anjuran Bulan Sabit Merah dengan Bank Darah Sri Aman yang berlangsung di perkarangan bawah Perpustakaan Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) ternyata mendapat sambutan mengalakkan daripada orang ramai dari sekitar bandar ini semalam.

Ianya terbukti apabila seramai 77 orang kakitangan kerajaan dan orang awam mengambil bahagian menerusi program derma darah di situ yang bermula dari jam 8 pagi hingga 1 petang semalam.

“Program yang diadakan bersempena dengan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2009 kali ini ternyata mendapat sambutan cukup memberangsangkan daripada kakitangan kerajaan dan orang awam di sini.

“Atas sebab ini pihak Bulan Sabit Merah dan Bank Darah Sri Aman dengan berbesar hati ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang melibatkan diri dalam program itu semalam,” kata Naib Pengerusi II Bulan Sabit Merah Sri Aman iaitu Paul Lu.

Penglibatan orang ramai dalam program terbabit semalam menurut beliau secara tidak langsung telah membuktikan bahawa penduduk di bandar ini begitu prihatin terhadap masalah kekurangan darah bagi tujuan kegunaan pesakit di hospital.

Dengan adanya penglibatan orang ramai dalam program itu maka Paul berharap agar ianya sedikit sebanyak dapat membantu memenuhi keperluan darah yang dibekalkan oleh bank darah pada setiap masa kepada pesakit yang memerlukan.

“Justeru pihak kami berharap agar jumlah penglibatan orang ramai dalam program yang akan datang bertambah berbanding sebelumnya,” menurut beliau.

Paul juga yang berharap agar program itu dapat memberi kesedaran orang ramai akan betapa pentingnya penglibatan mereka dalam memenuhi keperluan darah di bank darah selama ini.

Terdahulu syarikat IDS telah menaja minuman Malta dan Milo bagi tujuan kegunaan Kempen Derma Darah di kawasan perkarangan tingkat bawah bangunan Perpustakaan Majlis Daerah Sri Aman semalam.

Selain itu orang ramai yang terlibat dalam Program Derma Darah bersempena dengan sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2009 itu juga turut menerima sijil penghargaan daripada Bulan Sabit Merah.

Tamat.

No comments:

Post a Comment