Caption: SENGAJA ATAU TIDAK? Utusan Sarawak sempat merakamkan gambar kebakaran di dua buah lokasi belukar dalam kawasan padang lama KPSU Sri Aman semalam.
SRI AMAN, Selasa (16 Jun) – Dua kejadian kebakaran belukar telah berlaku berhampiran gelanggang tenis dalam kawasan Padang Lama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sri Aman lewat petang kelmarin.
Utusan Sarawak yang berada tidak jauh dari lokasi kejadian mendapati bahawa api kebakaran berkenaan mula merebak secara serius di dua buah lokasi belukar di kawasan tersebut bermula jam 7 petang kelmarin tanpa mengetahui punca sebenar kejadian berkenaan berlaku.
Walaupun api kebakaran di salah sebuah belukar dapat terpadam dengan sendirinya pada jam 7.15 petang, namun api kebakaran di sebuah lagi lokasi belukar dilihat masih lagi marak dan bermungkinan mampu merebak ke kawasan kuaters tempat tinggal kerajaan yang berdekatan.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman ketika dihubungi hari ini memberitahu bahawa pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 7.35 petang.
“Pemanggil telah melaporkan kejadian itu dengan menghubungi talian utama kecemasan. Balai bomba di Kuching yang menerima panggilan itu kemudiannya memaklumkan kepada pihak kami mengenai kejadian tersebut pada jam 7.35 petang.
“Seramai lima orang anggota dengan sebuah jentera pemadam kebakaran telah dihantar di lokasi tersebut dan api di kawasan belukar berkenaan berjaya dikawal sepenuhnya oleh pihak kami menjelang jam 8 malam,” katanya.
Pihak Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman semalam katanya juga turut bertindak mengawal api kebakaran belukar di kawasan Kampung Muhibbah, Sri Aman kelmarin setelah menerima panggilan pada jam 6.50 petang kelmarin juga dari balai bomba di Kuching.
Utusan Sarawak berpendapat bahawa musim cuaca kering yang melanda sehingga bulan Ogos tahun ini mungkin akan menyebabkan banyak kejadian kebakaran terutama sekali yang membabitkan belukar di kawasan Sri Aman.
Justeru adalah lebih wajar sekiranya orang ramai dari kawasan ini menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman menerusi talian 083-322228 sekiranya berlaku kejadian kebakaran di kawasan masing-masing bagi tujuan tindakan lebih pantas atau segera.
Tamat.
No comments:
Post a Comment