SRI AMAN, Jumaat - Bandar Sri Aman telah dipilih untuk menjadi tuan rumah kepada penganjuran sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XIII Peringkat Negeri Sarawak bermula dari 5 hingga 7 Jun ini.
Untuk itu lima buah acara telah disusun demi menjayakan sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XIII Peringkat Negeri Sarawak antaranya ialah Pameran Raja-Raja Kita, Majlis Kesyukuran, Majlis Jamuan Teh, Perlawanan Bola Sepak Persahabatan dan Pentas Rakyat.
“Pameran Raja-Raja akan diadakan bermula hari ini (5 Jun) hingga 7 Jun kelak bertempat di Perpustakaan Awam Majlis Daerah Sri Aman bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.
“Manakala Majlis Kesyukuran yang juga berlangsung pada hari ini (5 Jun) di Masjid Bandar Sri Aman akan dihadiri oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin,” kata jurucakap penganjur ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.
Manakala itu pada 6 Jun pula, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bersama Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud akan menghadiri Majlis Jamuan Teh di Dewan Suarah Sri Aman bermula jam 9 pagi.
Manakala pada jam 4 petang hari yang sama pula, Pasukan Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang bertugas di Sri Aman akan berentap dalam Perlawanan Bola Sepak Persahabatan bertempat di Padang Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Lama.
“Majlis pada malam hari itu (6 Jun) akan dimeriahkan lagi dengan Program Pentas Rakyat bertempat di Ampitheater, Dewan Suarah Sri Aman bermula jam 8 malam dimana pelbagai persembahan menarik termasuk pertunjukkan kebudayaan dan nyanyian oleh artis tempatan akan diadakan menerusi program itu.
“Pada 7 Jun pula Kelab TopGear Motorsport Sri Aman akan menganjurkan Sukaneka Permotoran 2009 bertempat di padang lama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sri Aman bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang,” katanya.
Justeru orang ramai diharap agar tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pelbagai acara menarik yang diadakan bermula dari 5 hingga 7 Jun ini nanti.
Tamat.
No comments:
Post a Comment