Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 December, 2010

Penduduk Nyakai minta tiang penyambung elektrik dibaiki


Caption: MINTA PEMBAIKAN SEGERA...Isteri Stanley iaitu Diah Jingan menunjukkan keadaan tiang penyambung elektrik yang tampak condong dan memerlukan pembaikan segera oleh pihak SESCO selepas ini.


SRI AMAN, Jumaat (17 Dis) – Penduduk Rumah Japing Gema, Nyakai merayu pihak SESCO untuk memperbaiki segera tiang sambungan elektrik di bumbung rumah panjang mereka yang hampir tumbang pada masa sekarang.

Pengadu, Stanley Ricky memberitahu tiang sambungan elektrik di bumbung rumah panjang mereka tampak condong dan memerlukan kerja pembaikan segera oleh pihak SESCO Sri Aman selepas ini.

“Masalah ini sudah berlaku hampir setahun yang lepas. Kami, penduduk rumah panjang Nyalai sudah pun membuat aduan terhadap pihak SESCO sebanyak tiga kali untuk sepanjang tahun ini.

“Bagaimanapun sehingga kini belum ada sebarang tindakan susulan daripada pihak SESCO. Justeru kami merayu agar pihak SESCO datang ke sini untuk memperbaiki semula tiang penyambung elektrik berkenaan,” katanya.

Beliau memberitahu penduduk rumah panjang Nyalai berasa bimbang sekiranya tiang penyambung berkenaan tiba-tiba patah dan boleh mengakibatkan kemungkinan kejadian kebakaran di rumah panjang mereka.

Penduduk Nyakai katanya juga bimbang sekiranya tiang penyambung elektrik ini boleh memberi ancaman keselamatan terhadap penduduk sekiranya ia patah secara tiba-tiba pada suatu hari kelak.

“Tiang penyambung ini mempunyai arus elektrik yang disalurkan kepada lapan buah keluarga yang menghuni rumah panjang ini. Sekiranya patah ia boleh mengancam keselamatan nyawa kami di sini pada masa akan datang,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment