Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

01 December, 2010

Lebah bersarang di Pejabat Daerah Betong tanda pilihan raya hampir



Caption: PETANDA PILIHAN RAYA? Pilihan raya dianggap semakin dekat acapkali koloni lebah membuat sarangnya di bangunan Pejabat Daerah Betong seperti yang sering berlaku pada pilihan raya sebelumnya.

Saleman Senin

BETONG, Selasa (30 Nov) – Kewujudan sarang lebah di bangunan Pejabat Daerah Betong nyata tidak mengerunkan para kakitangan di situ semenjak ia bersarang pada bahagian tepi atas bangunan berkenaan semenjak beberapa bulan lepas.

Walaupun sarang lebah berkenaan dilihat semakin membesar, koloni lebah terbabit didakwa tidak pernah menganggu mana-mana penduduk dan kakitangan yang berurusan di Pejabat Daerah Betong pada setiap hari ini.

“Mungkin masih ramai penduduk yang tidak perasan terhadap kewujudan sarang berkenaan memandangkan koloni lebah terbabit langsung tidak menyerang orang ramai yang berurusan di sini,” kata seorang kakitangan Pejabat Daerah Betong yang enggan namanya disiarkan di sini.

Katanya kewujudan sarang lebah yang pertama semenjak beberapa bulan lepas di bangunan terbabit nyata mewujudkan koloni lebah baru di bahagian sudut bangunan Pejabat Daerah Betong baru-baru ini.

Namun begitu pihak Pejabat Daerah Betong katanya tidak menyimpan sebarang hasrat untuk memburu koloni lebah berkenaan atau bertindak keluar dari bangunan pentadbiran terbabit selepas ini.

“Kewujudan sarang lebah di sini bukan perkara pelik bagi kakitangan Pejabat Daerah Betong memandangkan koloni serangga terbabit pernah bersarang di sekitar kawasan pejabat ini sebelum itu.

“Malahan kehadiran sarang lebah tersebut bagaikan satu pemandangan menarik dan menarik perhatian penduduk yang sering datang berurusan ke Pejabat Daerah Betong selama ini,” menurut beliau.

Kakitangan Pejabat Daerah Betong itu juga sempat berseloroh sambil mendakwa bahawa kewujudan sarang lebah di bangunan berkenaan adalah petanda bahawa musim pilihan raya semakin hampir seperti yang pernah berlaku pada waktu pilihan raya sebelumnya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment