Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 December, 2010

Jalan Lingga - Sri Aman akan mula dibina awal tahun depan - Simoi


Caption: TERIMALAH...Simoi (tengah) ketika menerima cenderahati daripada Saini (kiri) sambil disaksikan oleh tetamu jemputan khas yang lain pada majlis itu.


LINGGA, Jumaat (10 Dis) – Kerja pembinaan jalan raya Lingga – Stumbin – Bijat – Stumbin Link – Sri Aman akan bermula pada awal tahun hadapan demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri.

Menurut beliau maklum balas mengenai projek pembinaan jalan raya yang menelan belanja sekitar RM80 juta itu telah diperoleh daripada Menteri Kemudahan Awam dan Perhubungan, Datuk Michael Manyin Jaong pada persidangan DUN yang lepas.

“Saya yakin masalah pengangkutan dan perhubungan rakyat dalam kawasan DUN Lingga dan Sri Aman akan dapat diselesaikan sepenuhnya pada akhir tahun hadapan sekiranya projek pembinaan jalan raya ini dimulakan awal tahun hadapan kelak.

“Oleh itu saya minta rakyat di sini untuk sentiasa bersabar menantikan perlaksanaan projek berkenaan selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Program 1Malaysia ‘Komuniti Bestari Pengerak Pembangunan Minda’ di Rumah Able anak Bakar, Stumbin, Lingga petang kelmarin.

Selain itu cadangan untuk membina sebuah blok bangunan yang baru untuk Sekolah Kebangsaan (SK) Meludam kata Simoi kini sudah pun dihantar kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri bagi tujuan kelulusan.

Cadangan yang dihantar bagi tujuan kelulusan bawah Rancangan Malaysia Ke-10 itu menurut beliau bertujuan untuk menyelesaikan bangunan sekolah berkayu SK Meludam yang kian usang dan lama.

“Manakala itu blok bangunan baru SK Gran Stumbin kini sudah pun siap dan akan diguna pada tahun hadapan manakala blok bangunan baru SK Lela Pahlawan masih dalam 60 peratus proses pembinaan.

“Ini salah satu usaha pihak kerajaan bagi menaiktaraf kemudahan pendidikan untuk penduduk DUN Lingga di masa akan datang,” menurut beliau yang kemudiannya mengumumkan peruntukan bagi tahuan 2011 bernilai RM6,000 untuk Rumah Able dan RM3,000 bagi membina jalan kecil ke rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman / Betong, Saini Bojeng, Pengerusi Komuniti Bestari Kampung Pangkat Stumbin, Haji Shamshuddin Haji Seliman, para pegawai kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

1 comment:

  1. Bagussss..jgn buat sekerat-sekarat saja.

    ReplyDelete