Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 June, 2009

Tidak semua negeri punya prasarana yang lengkap


Caption: PENGHARGAAN...Tr Manai menyampaikan cenderamata kepada Shafie (tengah) sambil disaksikan oleh (dari kanan sekali) Mussen, Nyalau dan Rayong ketika berlangsungnya majlis hari ini.

LUBOK ANTU, Isnin (8 Jun) – Tidak semua negeri dalam negara ini mempunyai kemudahan infrastruktur yang sempurna memandangkan ianya dilaksanakan oleh kerajaan secara berperingkat-peringkat dan sistematik.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Haji Apdal berkata kerajaan memberi keutamaan kepada jenis sesebuah kemudahan yang paling diperlukan oleh rakyat dalam sesebuah kawasan sebelum mereka beralih kepada rancangan penyediaan kemudahan yang lain.

“Pembangunan tidak boleh kita capai umpama ‘mahu hari ini, esok dapat’ kerana segala kemudahan yang kita mahu tidak akan datang secara serentak dalam jangka masa yang pendek.

“Lagipun lihat saja contoh kawasan Permatang Pauh yang pada dahulunya (dan sekarang) ditadbir oleh bekas Timbalan Perdana Menteri iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim...keadaan kawasan itu masih mundur walaupun zahirnya kita beranggapan bahawa selama ini negeri di Semenanjung Malaysia lebih maju berbanding Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi lawatan ke Rumah Manai Jalak, Nanga San Panjai, Lubok Antu di sini hari ini.

Lagipun menurut Shafie adalah bukan tugas mudah bagi kerajaan untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan dalam masa singkat untuk negeri yang luas seperti Sabah dan Sarawak.

Ianya menurut beliau menuntut kesabaran rakyat dari kedua-dua negeri ini untuk terus menunggu ‘hadiah pembangunan’ daripada Barisan Nasional (BN) hasil kesetiaan mereka terhadap kerajaan selama ini.

“Justeru saya berharap agar semua rakyat terus bersatu untuk menjayakan segala rancangan pembangunan oleh kerajaan di negeri ini walaupun ianya memakan jangka masa yang panjang,” katanya.

Beliau menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukkan berjumlah RM200,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Manai Jalak.

Hadir sama ialah Menteri Pelancongan, Datuk Michael Manyin Jaong, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, para kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat dan ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment