Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 June, 2009

Koperkasa perkenal 3 cara untuk promosi

SRI AMAN, Jumaat (12 Jun) –Koperasi Koperkasa Berhad memperkenal beberapa langkah untuk menarik kemasukan lebih ramai anggota baru dalam koperasi berkenaan sebelum ini menurut Pentadbir Koperasi Koperkasa Berhad, Haji Azizan Abdul Gani.

Menurut beliau tiga langkah berkenaan ialah menawarkan bayaran insentif wang kepada anggota lama yang berjaya memperkenalkan anggota baru, insentif wang bagi mereka yang memperkenalkan pembelian motorsikal menerusi koperasi terbabit dan juga usaha promosi di pejabat-pejabat kerajaan dari masa ke semasa.

“Langkah pertama ialah mereka (anggota lama) akan dibayar insentif sebanyak RM10 untuk setiap seorang anggota baru yang berjaya dibawa oleh mereka untuk menyertai Koperasi Koperkasa Berhad.

“Langkah kedua pula bayaran insentif sebanyak RM50 akan diberi kepada anggota Koperkasa yang memperkenalkan pembelian motorsikal menerusi koperasi ini kepada rakan anggota yang lain...kesemua bayaran insentif ini bertujuan untuk mengalakkan lagi perkembangan Koperkasa di negeri ini,” katanya.

Beliau yang juga Pengurus Besar Rakyat Asset Management Sendirian Berhad berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai mengadakan lawatan ke bangunan baru Pejabat Koperasi Koperkasa Sri Aman di sini semalam.

Langkah ketiga pula menurut Azizan ialah dengan mempromosi Koperasi Koperkasa dikalangan kakitangan jabatan kerajaan negeri dan persekutuan dengan memberitahu kelebihan penyertaan ke dalam koperasi terbabit selama ini.

“Memohon pinjaman daripada Koperasi Koperkasa dianggap lebih baik berbanding memohon pinjaman daripada institusi perbankan kerana setiap anggota akan menerima bayaran dividen yang bergantung kepada nilai catatan keuntungan koperasi ini pada setiap tahun.

“Justeru saya mengalakkan kakitangan kerajaan untuk menyertai keanggotaan Koperasi Koperkasa selepas ini untuk menikmati kelebihan yang ditawarkan kepada mereka oleh pihak kami,” katanya.

Hadir sama dalam lawatan ke pejabat baru Koperasi Koperkasa Sri Aman ialah Penolong Pengurus Besar Koperasi Koperkasa Berhad, Ismail Abdul Rani, Pembantu Pentadbir Koperasi Koperkasa Berhad, Haji Abdul Rahman Abdul Majit dan bersama kakitangan Koperkasa yang lain.

Koperasi Koperkasa Berhad kini mempunyai seramai 26,400 anggota semenjak ianya ditubuhkan pada tahun 1949 dahulu di negeri ini yang pada mulanya menggunakan gelaran nama asal iaitu Koperasi Pekerja Kerajaan Sarawak Berhad.

Tamat.

No comments:

Post a Comment