Caption: UNTUK ALBUM...Bajuri (duduk tengah) ketika merakamkan gambar kenangan bersama anggota RELA Sri Aman ketika berlangsungnya program tersebut hari ini.
SRI AMAN, Sabtu (17 Disember) – Pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Daerah Sri Aman telah memperoleh seramai 50 orang anggota baru ketika berlangsungnya Program Jalinan Mesra dan Peminat Sukan Permotoran Bahagian Sri Aman di sini hari ini.
Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel (RELA) Bajuri Haji Adon berkata kesemua 50 orang anggota baru ini mendaftarkan diri masing-masing menjelang jam 11.30 pagi hari ini menerusi pembukaan kaunter pasukan yang dibuka di situ.
“Ia adalah jumlah cukup memberangsangkan yang diperoleh oleh pihak kita ketika kaunter RELA mula dibuka bersempena dengan sambutan program itu bermula awal pagi hari ini.
“Justeru kita berharap agar RELA Daerah Sri Aman akan memperoleh lebih ramai anggota baru sebelum program ini tamat esok (Ahad),” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.
Bajuri turut menambah bahawa seramai 30 orang anggota RELA telah dikerah untuk mengawal dan memantau keadaan sambutan Program Jalinan Mesra dan Peminat Sukan Permotoran Bahagian Sri Aman hari ini.
Ia katanya merupakan salah usaha RELA untuk membantu pihak polis menjaga keselamatan orang ramai yang datang bagi menyaksikan pelbagai aktiviti menarik bersempena dengan program itu.
“Kesemua anggota RELA Daerah Sri Aman telah melakukan tugas masing-masing dengan penuh berdedikasi ketika berlangsungnya sambutan program berkenaan pada hari ini.
“Saya berharap agar sikap dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh anggota RELA akan dapat menarik perhatian orang ramai bagi menyertai pasukan kita pada masa akan datang,” katanya.
Tamat.
No comments:
Post a Comment