Caption: PERLU TURAP...Gambar menunjukkan sebuah jengkaut yang cuba melintasi laluan rosak berdekatan dengan jalan kereta di kawasan Pantu hari ini.
PANTU, Khamis (29 Dis) – Kisah mengenai kerosakan jalan raya akibat pembinaan longkang dipercayai bagi mengurangkan masalah banjir di Pantu pernah disiarkan dalam akhbar ini pada 21 Disember lepas.
Dengan tanah merentangi laluan jalan menuju ke Pekan Pantu (berdekatan jalan keretapi) telah menyukarkan lalu-lalang pengguna kenderaan di situ maka tindakan segera diambil dengan meletak longgokan batu di situ setelah berita ini disiarkan dalam akhbar.
Sudah tentunya tindakan terbabit kembali menyenangkan pengguna kenderaan yang sering berulang-alik dari Pekan Pantu ke kampung halaman masing-masing di daerah kecil terbabit selepas itu.
Namun begitu tindakan melonggok batu ini hanya dianggap penyelesaian sementara apabila lori dan jentera muatan berat telah kembali merosakkan semula jalan berkenaan semenjak tiga hari lepas.
“Sekarang kepayahan pengguna kenderaan di Pantu kembali sukar seperti dulu diakibatkan oleh longgokan batu berkenaan,” menurut seorang penduduk yang melaporkan perkara ini kepada Utusan Sarawak.
Beliau mendakwa bahawa longgokan batu yang digunakan untuk menutup laluan bertanah di atas jalan raya berkenaan nyata tidak lagi rata seperti dahulu dan sukar dilalui oleh kenderaan pada masa sekarang.
Katanya kerosakan berupa longgokan tanah di situ sebelum ini nyata lebih mudah dilalui oleh semua pengguna kenderaan berbanding dengan melalui laluan longgokan berbatu terbabit pada masa sekarang.
“Justeru jalan penyelesaian paling baik ialah menurap kembali laluan tersebut. Lagipun musim persekolahan anak-anak akan kembali bermula tidak kurang dari tempoh seminggu mulai sekarang,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa penduduk akan melalui laluan terbabit pada setiap hari untuk menghantar anak-anak yang menuntut di Sekolah Kebangsaan (SK) Pantu dan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Cina Pantu pada 4 Januari depan.
Tamat.
No comments:
Post a Comment