Caption: BELUM SURUT...Gambar pada jam 9 pagi, 28 Disember ini menunjukkan jalan raya masih dinaiki air banjir dan menutup laluan masuk menuju ke penempatan penduduk di kawasan Pangkalan Pantu, Sri Aman.
PANTU, Rabu (28 Dis) – Sejumlah 100 orang mangsa banjir masih lagi ditempatkan di Pusat Pemindahan Bencana, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Pantu pada masa sekarang.
Seorang kakitangan petugas di situ ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini memberitahu kesemua mangsa banjir terbabit masih lagi belum menerima arahan pulang ke rumah ekoran kejadian banjir yang melanda kawasan tersebut pada 25 Disember lepas.
“Air bah masih lagi belum surut di kawasan Pangkalan Pantu pada masa sekarang. Justeru kesemua 100 orang mangsa banjir ini masih lagi ditempatkan di sini hingga masa sekarang,” katanya.
Katanya kesemua mangsa banjir yang direkodkan pada hari ini terdiri daripada 20 orang kanak-kanak, 67 orang dewasa dan 13 orang Warga Emas semenjak Pusat Pemindahan Bencana SJK Chung Hua Pantu mula dibuka pada 27 Disember lepas.
Sementara itu tinjauan rambang Utusan Sarawak pada jam 9 pagi hari ini (28 Disember) mendapati bahawa mangsa banjir mengambil kesempatan pulang ke rumah masing-masing untuk mengambil barangan peribadi dengan menggunakan perahu.
Ia berikutan banjir yang melanda Pangkalan Pantu semenjak malam 25 Disember itu masih belum surut disebabkan oleh faktor hujan lebat dan juga air pasang di kawasan Sungai Batang Strap.
“Air banjir pada malam tadi tidak meningkat dan juga tidak surut. Ia kekal seperti ini semenjak malam tadi hingga ke waktu pagi ini,” kata salah seorang mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemulihan banjir berkenaan.
Beliau mendakwa bahawa kejadian banjir yang melanda kawasan Pangkalan Pantu kali ini adalah lebih teruk berbanding dengan kejadian banjir yang melanda kawasan penempatan mereka pada 4 Disember lepas.
“Air bah kali ini lebih tinggi berbanding air bah pada 4 Disember lepas. Masalah ini menyebabkan ramai penduduk di Pangkalan Pantu mula melakukan persiapan untuk berbanding pada hari pertama sambutan perayaan Krismas,” katanya.
Utusan Sarawak turut mendapati bahawa hujan lebat berterusan pada 24 Disember lepas menyebabkan berlakunya kejadian pokok tumbang dan tanah runtuh (skala kecil) tidak jauh dari kawasan Sungai Tenggang, Pantu.
Tamat.
No comments:
Post a Comment