Penulis sedang sibuk menyiapkan sebuah rencana apabila seorang lelaki secara tiba-tiba ke sisi meja penulis.
“Alo boss,” kata budak lelaki berkenaan menyapa penulis. Penulis amati wajahnya. Ini kali kedua lelaki terbabit bertandang ke pejabat penulis. Kali pertama dahulu ketika bersama rakan sepejabat penulis iaitu Zulia Haji Jemat namun kali ini pula berseorangan.
“Ya..,” balas penulis.
“Mana Zul (penyelia pemasaran di pejabat penulis)?” tanyanya.
“Oh mungkin dia belum datang. Duduklah di sofa dahulu,” pelawa penulis. Kami berdua kemudiannya duduk di sofa sementara menunggu kedatangan rakannya.
Penulis tidak begitu mengenali lelaki berkenaan. Tetapi menurut apa yang penulis tahu lelaki terbabit datangnya dari kawasan Batu Lintang, Sri Aman. Dia merupakan anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) platun Batu Lintang yang diketuai oleh rakan penulis sendiri. Jadi tidak hairanlah mengapa lelaki terbabit datang mencari rakannya di sini.
“Itu gitar kamu ke?” tanya lelaki terbabit sambil melihat ke arah gitar peribadi penulis. Berwarna hitam berjenama Santa Cruz.
“Ya. Kenapa?” jawab penulis.
“Beli di mana?” tanyanya lagi.
“Oh tahun 2001 dahulu ketika menuntut di Pulau Pinang,” balas penulis. Lelaki terbabit kemudiannya menganggukkan kepala.
“Berapa harga?” tanya lagi.
“Biasa saja. RM400 tawar jadi RM390 sahaja haha,” kata penulis.
“Oh...bagus kamu ada gitar. Pandai main?” tanyanya. Penulis diam sejenak. Apabila pertanyaan sebegini datang penulis mula rasa tidak selesa. Bagi penulis menerangkan kepandaian diri tentang bakat bermain gitar kepada orang lain adalah tidak sopan, tidak ikhlas dan dianggap mengada-ngada.
“Tahu sikit-sikit,” kata penulis.
“Saya pandai bermain gitar..bukan itu sahaja gitar bass juga saya cekap bermain,” katanya.
“Oh itu berita baik,” balas penulis.
“Biasalah,” katanya sambil tersengih lalu menyambung semula “sebab itulah kami ada menubuhkan sebuah band (kugiran)..kami namakan Batu Lintang Group Boy,” katanya.
“Wow baguslah...selalu main dimana?” tanya penulis.
“Di Batu Lintang. Orang di Betong pun selalu jemput kami bermain. Kamu kenal Hilary?” tanyanya.
“Tahu nama saja,” jawab penulis. Hilary atau nama benarnya Abang Syukrie merupakan pemain gitar lead handalan yang berkhidmat di bawah syarikat rakaman Golden Pearl Recording Studio.
Nama Hilary gah kerana pernah terkenal menerusi album Kumang Malaysia sebelum ini bahkan di Sri Aman juga beliau cukup dikenali kerana kepandaiannya bermain gitar dan selalu menjadi jemputan sesetengah band yang mengendalikan persembahan lagu bagi sesebuah majlis.
“Kami selalu bermain dengannya (Hilary). Saya selalu disuruh oleh Hilary untuk bermain gitar bass atau rytham. Jangan hairan, band kami juga sudah mencipta sebuah lagu...mungkin akan diambil oleh sebuah syarikat rakaman di sini tak lama lagi..,” katanya.
“Oh baguslah begitu. Syarikat mana?” tanya penulis.
“Rahsia..,” balasnya sambil tersenyum. “Lagipun sudah 12 tahun saya melibatkan diri dalam band ini...menyanyi untuk mereka dan bermain untuk mereka,” sambungnya.
“Oh...kamu masih sekolah?” tanya penulis.
“Ya masih. Di SMK Sri Aman,” jawabnya.
“Tingkatan berapa?” tanya penulis.
“Tahun ini masuk tingkatan 4,” jawabnya.
“...........,” penulis kehairanan. Sesuatu tidak betul sedang bermain di fikiran penulis.
Tiba-tiba rakan @ geng sekepala penulis iaitu Hilary (yang dikatakan oleh lelaki terbabit sebelum ini) datang secara mengejut ke pejabat penulis. Melihat Hilary datang lelaki terbabit kemudiannya mengelebah.
“Aji (nama timangan Hilary) kawan kamu ada sini,” kata penulis kepada Hilary sambil menudingkan jari ke arah lelaki terbabit.
“Siapa ni?” balas Hilary sambil kehairanan. Lelaki terbabit bergegas meminta diri lalu terus keluar dari pejabat penulis.
Pengajarannya kalau nak kelentong orang biarlah bertempat.
No comments:
Post a Comment