Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

24 March, 2009

Pemuda PRS persoal pencalonan Jawah


Mugshot: EDWIN RAOH

SRI AMAN, Selasa (24 Mac) – Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) kawasan Batang Ai pada hari ini telah menganggap Pengerusi Parti KeAdilan Rakyat (PKR) kawasan Batang Ai iaitu Nicholas Bawin Anggat telah dipinggirkan dalam hal pemilihan calon parti pembangkang terbabit semalam.

Terdahulu Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan mantan Ahli Parlimen Lubok Antu, Jawah anak Gerang sebagai calon PKR untuk bertanding pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 7 April ini.

“Bawin sepatutnya dipilih untuk menjadi calon PKR dan bukannya Jawah kerana beliau (Bawin) bersama penyokongnya selama ini telah pun berpenat-lelah untuk membuat persediaan bagi memperkuatkan jentera parti PKR di Batang Ai selama ini.

“Bagaimanapun kami terperanjat apabila Anwar memilih Jawah sebagai calon. Jika saya menjadi Bawin maka saya akan menganggap pemilihan ini tidak setimpal dengan usaha saya yang telah berpenat lelah untuk membawa masuk PKR di Batang Ai selama ini,” kata Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda PRS Batang Ai, Edwin anak Raoh.

Sambil menyifatkan Bawin telah dipinggirkan oleh barisan pemimpin kanan partinya sendiri, beliau berpendapat bahawa adalah tibanya masanya untuk Bawin memikirkan masa depan karier politiknya mulai sekarang.

“Saya menyokong kata nasihat Timbalan Presiden PRS iaitu Datuk Joseph Entulu Belaun yang mahu agar beliau (Bawin) meninggalkan parti PKR sekiranya tidak lagi diperlukan di situ berhubung hal pemilihan calon berkenaan.

“Ini kerana perjuangan beliau (Bawin) dan penyokongnya boleh dianggap sia-sia sahaja selama ini. Alangkah baik sekiranya beliau bertindak keluar dari parti PKR sekarang dan terus menyertai pihak Barisan Nasional (BN) selepas ini,” katanya.

Justeru Edwin berharap agar Bawin dan penyokongnya melupakan perjuangan PKR di Batang Ai dan seterusnya memberikan bantuan kepada BN menjelang pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April ini nanti.

Tamat.




No comments:

Post a Comment