Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 March, 2009

Jawah dan Bawin bukan calon sebenar PKR kata sumber

SRI AMAN, Sabtu (14 Mac) – Spekulasi mengenai calon pembangkang yang bakal bertanding pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai ini nanti juga sebenarnya juga masih hangat di sekitar daerah kecil Lubok Antu dan Sri Aman.

Selain spekulasi mengenai nama calon BN yang bakal terjawab pada petang hari ini, pihak Parti KeAdilan Rakyat (PKR) juga sering disebut-sebut akan menghantar Jawah anak Gerang atau Nicholas Bawin anak Anggat untuk bertanding pada pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April ini nanti.

Bagaimanapun sumber hari ini memberitahu bahawa pihak pembangkang iaitu PKR mungkin tidak akan mempertengahkan nama kedua-dua individu berkenaan menjelang Hari Penamaan Calon bagi pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 29 Mac ini.

“Spekulasi yang mengaitkan nama Nicholas Bawin atau pun Jawah Gerang untuk bertanding bagi pihak pembangkang iaitu PKR menjelang pilihanraya kecil itu nanti hanyalah bertujuan untuk mengaburi ‘mata’ pihak Barisan Nasional (BN).

“Pihak PKR sebenarnya sudah pun memilih seorang calon yang berasal dari kawasan Batang Ai, Lubok Antu itu sendiri dan nama individu terbabit masih lagi dirahsiakan sehingga tiba tarikhnya untuk diumumkan kelak,” kata sumber terbabit ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurut sumber spekulasi ini merupakan salah satu taktik pihak pembangkang untuk mengejutkan pihak BN menjelang Hari Penamaan Calon bagi pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 29 Mac ini kelak.

Terdahulu rata-rata pemerhati politik tempatan di daerah ini yakin bahawa pihak BN akan mendapat tentangan sengit daripada pihak pembangkang menjelang pilihanraya kecil DUN Batang Ai pada 7 April ini nanti.

Sambil melabelkan DUN Batang Ai sebagai kawasan ‘panas’, para pemerhati politik tempatan ini yakin bahawa pihak pembangkang akan menghantar Jawah Gerang untuk menentang calon BN yang bakal diumumkan oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi BN Negeri iaitu Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada hari ini.

“Mungkin ramai pihak yang yakin bahawa Nicholas Bawin akan bertanding mewakili pembangkang untuk menentang calon BN menjelang pilihanraya kecil DUN Batang ini nanti.

“Sama ada Nicholas atau Jawah, kedua-dua mereka bukan calon pilihan PKR. Calon sebenarnya sudah ada namun namanya masih lagi dirahsiakan buat masa kini,” ujar sumber terbabit.

Tamat.


No comments:

Post a Comment