Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 March, 2009

Umat Islam hadapi cabaran dalam dunia globalisasi kata Simoi


Mugshot: HAJAH SIMOI HAJI PERI

SRI AMAN, Selasa (10Mac) – Umat Islam kini menghadapi cabaran dalam menyatupadukan ummah dalam sebuah barisan yang kuat demi melahirkan golongan insan yang berkualiti serta berwawasan untuk agama, keluarga, bangsa, dan negara.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 1430 H/ 2009 M bertempat di Padang Lama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sri Aman semalam.

Pertelagahan yang sering terjadi di kalangan umat Islam pada masa sekarang kata beliau telah menyebabkan berlakunya masyarakat Islam berpecah-belah sehingga mendatangkan kerugian dari segi politk, ekonomi dan sosial.

“Lagipun keadaan semakin bertambah buruk apabila terdapat sesetengah pihak ini yang sengaja menghuru-harakan keadaan dengan menganjurkan kegiatan demonstrasi jalanan atau rusuhan disebabkan oleh isu politik.

“Ini petanda tidak baik untuk menjana kekuatan umat kita. Sekiranya keadaan ini berterusan maka masyarakat Islam akan dipandang hina oleh semua bangsa lain di dunia ini,” katanya.

Selain itu kata Simoi sekiranya masyarakat Islam tidak mengambil berat tentang perlunya seseorang umat itu untuk mempertingkat ilmu agama dalam jiwa masing-masing maka nescaya pihak tertentu akan bertindak mengambil kesempatan bagi memecahbelahkan perpaduan ummah.

“Umat Islam kini berdepan dengan pelbagai masalah gejala sosial seperti sumbang mahram, ketagihan dadah dan banyak lagi yang ternyata mampu merosakkan minda setiap umat Islam.

“Masalah ini jika tidak diatasi boleh menyebabkan pegangan agama masing-masing terhadap Islam akan menjadi lemah dan seterusnya menjurus kepada perpecahan dikalangan masyarakat Islam,” katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Pemerintah Kem Pakit, 13 Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Nahar, Pegawai Jabatan Agama Islam Sri Aman, Ustaz Haji Ramzen bin Ambi, Pengerusi Lembaga Amanah Masjid Bandar Sri Aman, Datu Haji Abdul Rashid, para pegawai jabatan kerajaan dan ketua kaum dari bandar ini.

Acara perarakan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul ini telah disertai lebih 1,000 peserta daripada 30 buah persatuan, badan kerajaan dan sekolah dari sekitar bandar Sri Aman.

Rombongan perarakan besar-besaran bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul ini telah diketuai oleh Simoi bermula dari Padang Lama KPSU Sri Aman pada jam 7.30 pagi menuju ke Kampung Hilir, Bandar Sri Aman, Kampung Hulu dan pulang kembali di padang terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment