Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 March, 2009

Peranan JKKK itu penting kata Harden


Caption: PENGHARGAAN...Dunstant (kiri) sedang menyampaikan cenderamata kepada Harden (kanan) sambil disaksikan oleh ahli jawatankuasa JKKK Kampung Teratai ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini.

SRI AMAN, Rabu - Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis mengingatkan para penduduk tempatan sekitar daerah ini akan betapa pentingnya peranan Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) dalam mempertingkatkan lagi status pembangunan sekitar daerah Sri Aman.

Katanya, para penduduk perlu sedar akan betapa pentingnya peranan JKKK memandangkan ia berperanan sebagai sebuah ‘jambatan’ yang menghubungkan kerajaan dan penduduk demi memastikan kemajuan berterusan dari segi pelbagai aspek dalam sesebuah kelompok penduduk masa kini.

“Dengan tertubuhnya JKKK, kerajaan tidak akan mempunyai sebarang kerumitan untuk mengenalpasti masalah berkenaan dan seterusnya melaksanakan pelbagai program atau projek yang mampu menyelesaikan permasalahan tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam anjuran JKKK Kampung Teratai Sri Aman bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini baru-baru ini.

Sementara itu, beliau juga menasihatkan agar JKKK memainkan peranan mereka untuk memelihara kebajikan serta memastikan agar taraf keselamatan setiap ahli penduduk sentiasa terjamin.

Kata Harden, setiap ahli JKKK perlulah meningkatkan tahap kerjasama di antara mereka demi memastikan setiap program yang berkaitan dengan kebajikan serta keselamatan anggota penduduk itu dilaksanakan dengan sebaik mungkin.

“Penduduk telah melantik setiap anggota dalam sesebuah JKKK berkenaan dan mereka haruslah menjalankan kewajipan mereka dengan penuh komitmen demi merealisasikan kehendak penduduk selama ini,” katanya.

Dalam majlis berkenaan beliau telah mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM3,000 kepada JKKK Kampung Teratai untuk membolehkan mereka melaksanakan pelbagai aktiviti di masa akan datang.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Pengerusi JKKK Kampung Teratai, Tuai Rumah Dunstant Batu anak Jawas, para ahli JKKK dan ketua kaum dari sekitar bandar ini.
Tamat.


No comments:

Post a Comment