Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 March, 2009

Penduduk gembira berhubung projek RES di Pantu




Mugshot:

1. HEAROLD...Mudahkan urusan penduduk
2. MICKY...Pacu kegiatan ekonomi

SRI AMAN, Jumaat (20 Mac) – Penduduk di kawasan daerah kecil Pantu, Sri Aman menyambut baik usaha kerajaan untuk melaksanakan projek Pembekalan Elektrik Luar Bandar (RES) bernilai RM13 juta di kawasan terbabit bermula tahun ini.

Perkara ini telah diumumkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Snowdan anak Donald Lawan ketika dihubungi oleh Utusan Sarawak mengenai rancangan kerajaan untuk memperluaskan projek RES di kawasan DUN terbabit semalam.

“Inilah perkara yang kami nanti-nantikan selama ini. Saya yakin penduduk di kawasan daerah kecil Pantu perlukan pembekalan elektrik untuk memudahkan urusan harian masing-masing,” kata Tuai Rumah Hearold Ernest anak Jimbai dari Selantik Ili, Pantu.

Beliau yakin bahawa menjelang tahun hadapan para penduduk di kawasan Pantu, Rapak, Sungai Tenggang dan Abok akan dapat menikmati peningkatan taraf hidup yang baru berbanding dengan sebelumnya apabila projek RES sudah siap dilaksanakan kelak.

Sementara itu Micky Abang Lom, 31, berpendapat bahawa pengumuman mengenai projek RES bernilai RM13 juta ini mampu melegakan hati para penduduk di kawasan Pantu yang sememangnya memerlukan kemudahan elektrik 24 jam sebelum ini.

“Kerajaan perlu lebih berusaha untuk menyediakan kemudahan RES bukan sahaja di Pantu malah di seluruh kawasan DUN Balai Ringin yang kini kebanyakkannya masih bergantung kepada penggunaan enjin janakuasa elektrik.

“Lagipun keadaan ekonomi pada masa kini juga tidak menentu. Penduduk di kawasan luar bandar tidak akan mampu membeli bahan api untuk kegunaan enjin janakuasa elektrik masing-masing untuk sepanjang masa,” katanya.

Beliau berpendapat bahawa projek RES adalah merupakan jalan penyelesaian yang terbaik bagi penduduk di kawasan DUN Balai Ringin untuk mempertingkatkan taraf ekonomi keluarga masing-masing.

“Bayangkan jika RES sudah disalurkan terhadap penduduk luar bandar dalam kawasan DUN ini. Mungkin mereka boleh merancang untuk melaksanakan kegiatan ekonomi yang mencakupi bidang perkhidmatan dan perniagaan,” katanya.

Projek RES bernilai RM13 juta ini akan mula dilaksanakan pada tahun ini bakal dihubungkan dari kawasan Pekan Pantu ke Rapak dan juga turut menghubungkan kawasan Sungai Tenggang serta Abok.

Tamat.

No comments:

Post a Comment