Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 March, 2009

Pemberian rebat enjin sangkut bukan untuk kempen BN di Batang Ai ujar Masing

LUBOK ANTU, Rabu (18 Mac) – Pemberian rebat kepada pemilik enjin sangkut di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada hari ini adalah bukan merupakan salah kempen oleh pihak Barisan Nasional (BN) untuk memenangi hati penduduk di kawasan terbabit.

Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut Masing berkata pemberian rebat ini adalah merupakan hak rakyat yang telah dipohon oleh pihak Kerajaan Negeri terhadap pihak Kerajaan Pusat pada tahun lepas demi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh mereka berhubung kenaikan harga bahan api sebelumnya.

“Pemberian rebat kepada pemilik enjin sangkut pada hari ini adalah bukan sebahagian daripada tindakan BN untuk berkempen di Batang Ai pada pilihanraya kecil ini nanti kerana penduduk di Kapit selepas ini juga akan menerima rebat yang sama tanpa ada sebarang pilihanraya pun.

“Lagipun ingin saya ingatkan kepada anda semua di sini bahawa pemberian rebat kepada pemilik enjin sangkut ini tidak mengira sama ada anda adalah merupakan penyokong parti pembangkang ataupun kerajaan,” katanya.

Beliau yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Rebat Kepada Pemilik Enjin Sangkut yang berlangsung di Rumah Dimbap Awet, Serubah Ili, Lemanak, Lubok Antu hari ini.

Selain itu Masing juga meminta bekas wakil rakyat, pesara kerajaan dan golongan berpendidikan tinggi untuk berhenti mengelirukan pemikiran penduduk di rumah panjang dalam kawasan luar bandar dalam negeri ini khususnya di Lubok Antu.

Golongan terbabit sebaliknya menurut beliau haruslah bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari jalan bagi memperbaiki dan mempertingkat taraf hidup penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar.

“Ketika masih berkhidmat di bawah kerajaan BN, orang itu menyatakan segala kebaikan kita kepada penduduk yang berada di bawahnya sehingga mengajak para penduduk ini untuk menyokong sepenuhnya BN.

“Namun apabila sudah meninggalkan kita (BN), orang ini pula menyatakan segala keburukan mengenai kerajaan sehingga menyeret penduduk ke sana ke mari demi kepentingan politik masing-masing,” kata beliau sambil menambah mengikut kumpulan terbabit tidak akan mendatangkan sebarang faedah kepada diri penduduk itu sendiri.

Hadir sama ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Kemena, Dr Stephen Rundhi, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, calon BN untuk kerusi DUN Batang Ai, Mussen Lamoh, para pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk di kawasan ini.

Sejumlah 177 orang pemilik enjin sangkut telah menerima rebat pada majlis itu yang mencatatkan jumlah keseluruhan bayaran bernilai RM89,970.

Sebelum itu seramai 269 pemilik enjin sangkut juga turut menerima rebat menerusi majlis yang berlangsung di Dewan Serbaguna Lubok Antu dengan mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM345,000.

Tamat.






No comments:

Post a Comment