Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

02 March, 2009

PDK Sri Aman galak ibubapa daftar anak OKU ke pusat berkenaan

Caption: MANFAATKAN...Simoi (kiri) sedang menyampaikan sumbangan khas kepada seorang penerima sambil diiringi oleh Lina (kanan) ketika berlangsungnya majlis berkenaan baru-baru ini.

SRI AMAN, Isnin (2 Mac) – Ibubapa dari sekitar daerah ini dialu-alukan untuk mendaftar anak- ‘Istimewa’ masing-masing ataupun golongan Orang Kurang Upaya (OKU) ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bahagian Sri Aman yang terletak di Jalan Hospital Sri Aman.

Pengerusinya, Lina Andom berkata PDK Bahagian Sri Aman akan memberi khidmat untuk mendidik anak ‘istimewa’ mereka tentang aspek berdikari dan langkah penjagaan pengurusan imej kendiri terhadap anak yang mendaftar di pusat berkenaan.

“Ibubapa yang ingin mendaftar anak-anak istimewa mereka ke PDK Bahagian Sri Aman ini terlebih dahulu haruslah berada di bawah penyeliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat di bandar ini,” katanya kepada pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Penyampaian Sumbangan Khas Cap Goh Mei 2009 di sini baru-baru ini.

Majlis Penyampaian Sumbangan Khas Cap Goh Mei 2009 anjuran PDK Bahagian Sri Aman ini telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri.

PDK Bahagian Sri Aman menurut Lina yang sehingga kini mempunyai sejumlah 50 orang pelatih OKU dan empat kakitangan bertugas akan dibuka pada hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 12 tengahari.

“Demi membantu kebajikan OKU di daerah ini, saya mengalu-alukan ibubapanya agar menghantar anak-anak (OKU) ke pusat ini pada jadual masa operasi PDK yang telah dinyatakan atau mereka boleh menghubungi kami di talian 083-327827 sekiranya ingin mendapatkan keterangan lanjut,” kata beliau.

PDK Bahagian Sri Aman yang pada mulanya beroperasi di kawasan Rumah Kanak-Kanak Datuk Ajibah Abol Sri Aman di Jalan Sabu telah pun berpindah operasi di Jalan Hospital, bersebelahan dengan bangunan Pasaraya Everise di pusat bandar Sri Aman.

Terdahulu Majlis Penyampaian Sumbangan Khas Cap Goh Mei 2009 ini menyaksilan sejumlah 50 kanak-kanak dari PDK Bahagian Sri Aman dan anggota masyarakat dari sekitar kawasan Lachau, Pantu dan Lubok Antu menerima sumbangan yang disampaikan oleh Hajah Simoi.

Majlis penyampaian sumbangan ini turut disaksikan oleh Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Sri Aman, Mordiah Sulaiman, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO), Shamsiah Deli, Kanselor Mas Shamsiah Haji Maslem dan kakitangan kerajaan yang lain.

Tamat.









No comments:

Post a Comment