Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 March, 2009

Nyalau dakwa 10 peratus orang Dayak jual tanah NCR kepada orang lain


Mugshot: WILLIAM NYALAU BADAK

LUBOK ANTU, Ahad (22 Mac) – Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak mendakwa bahawa terdapat sejumlah 10 peratus orang Dayak di negeri ini telah bertindak menjual atau mengadai Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka kepada orang lain apabila sudah diberikan geran oleh pihak kerajaan sebelum ini.

Lebih mengecewakan lagi menurut beliau ialah apabila pemilik asal tanah NCR iaitu orang Dayak terbabit terpaksa berkhidmat di atas tanah sendiri yang selepas itu telah pun dimiliki oleh orang lain.

“Pemilik tanah NCR Dayak terbabit yang telah diberikan surat hakmilik tanah oleh kerajaan sebelum ini mungkin bertindak menjual tanahnya kepada orang lain kerana faktor kesempitan wang.

“Mereka (pemilik tanah NCR) tidak sepatutnya bertindak demikian kerana tanah NCR itu adalah khazanah berharga yang diperturunkan oleh nenek moyang mereka sejak dari dahulu lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Warga Ceria anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) bertempat di Gerai Tatai Kenyalang Majlis Daerah Lubok Antu semalam.

Selain itu Nyalau juga mahu orang Dayak melaksanakan aktiviti pertanian komersial atau lain-lain aktiviti demi memastikan tanah NCR terbabit terus menjadi milik mereka dari masa ke semasa.

“Malahan tidak perlu bagi kita untuk tergopoh-gapah melaksanakan kerja menyukat tanah NCR milik masing-masing bagi tujuan mendapat surat hakmilik terhadap tanah mereka daripada pihak kerajaan,” katanya.

Sementara itu beliau turut menggesa penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai untuk menolak calon pembangkang yang sebelum ini pernah bernaung di bawah BN.

“Dulu dia kata jangan mengundi dia sekiranya dia bukan daripada BN. Namun sekarang dia minta penduduk menyokongnya sendiri walaupun dia kini menyertai pembangkang,” katanya tanpa mendedahkan nama individu terbabit.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu. (PBB) merangkap Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Haji Fadillah Haji Yusof dan Ahli Parlimen Batang Sadong iaitu Hajah Nancy Syukrie.

Tamat.



No comments:

Post a Comment