Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 March, 2009

Nabi Muhammad S.A.W pembawa dimensi baru kata Simoi




Caption:

1.MULA BERARAK…Hajah Simoi (tengah) sambil diiringi oleh Shamshudin (kiri beliau) bersama dengan rombongan tetamu khas yang lain memulakan perarakan mereka di sini hari ini.

2.MERIAH…Kelihatan seorang anggota tentera sedang mengetuai perarakan sebuah kontinjen ketika berlangsungnya Sambutan Maulidur Rasul 1430 H/ 2009 M hari ini.

SRI AMAN, Isnin (9 Mac) – Kedatangan Nabi Muhamaad Rasulullah s.a.w lebih 1,400 tahun dahulu ternyata membuka dimensi baru dalam melahirkan golongan umat Islam yang cemerlang dari segi pelbagai bidang bermula dari zaman kedatangan baginda sehingga sekarang.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri berkata demikian kepada Utusan Sarawak sebaik sahaja selesai merasmikan Sambutan Maulidur Rasul 1430 H/ 2009 M bertempat di Padang Lama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi Sri Aman hari ini.

Kecemerlangan terbabit menurut beliau terbukti apabila Islam telah melahirkan ramai sarjana-sarjana yang terkenal dengan kitab hasil karangan mereka yang mana kitab tersebut menjadi rujukan golongan para pengkaji dari dunia Barat pada era kegemilangan Islam.

“Nama-nama besar seperti Ibnu Rusyd, Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Al-Khuwarizmi, Al-Khindi dan lain-lain lagi adalah merupakan sarjana Islam yang terkenal bukan sahaja di kalangan umat Islam bahkan di seluruh dunia.

“Mereka telah mengkaji dan membuat penyelidikan terhadap pelbagai ilmu alam dan kehidupan seperti ilmu hisab atau matematik yang seterusnya mewujudkan bidang ilmu Jibra, Falak, Perubatan (At-Tib), ilmu Psikologi dan sebagainya,” katanya.

Kewujudan golongan sarjana ini tambah Simoi lagi secara tidak langsung telah menyumbang kepada perkembangan tamadun dunia hasil kajian dan penyelidikan para ilmuan Islam menerusi kitab masing-masing pada masa lampau.

Kemajuan dunia pada zaman sekarang kata beliau membuktikan bahawa Islam adalah merupakan sebuah agama yang mengajak para umatnya untuk mendalami serta memahami pelbagai perkara yang berkaitan dengan ciptaan Allah S.W.T.

“Menerusi sambutan Maulidur Rasul ini saya mengajak kesemua umat Islam khususnya di kawasan Sri Aman untuk membina kualiti hidup ke arah menjayakan visi kerajaan dalam menghasilkan modan insan yang berkualiti.

“Ini kerana baginda Nabi Muhammad menerusi kitab Al-Quran telah menjadikan kualiti manusia lebih tinggi dan berharga berbanding zaman sebelumnya dan secara tidak langsung menyumbang kepada kemajuan tamadun dunia pada zaman sekarang,” katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Pemerintah Kem Pakit, 13 Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Kolonel Nahar, Pegawai Jabatan Agama Islam Sri Aman, Ustaz Haji Ramzen bin Ambi, Pengerusi Lembaga Amanah Masjid Bandar Sri Aman, Datu Haji Abdul Rashid, para pegawai jabatan kerajaan dan ketua kaum dari bandar ini.

Acara perarakan bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul ini telah disertai lebih 1,000 peserta daripada 30 buah persatuan, badan kerajaan dan sekolah dari sekitar bandar Sri Aman.

Rombongan perarakan besar-besaran bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul ini telah diketuai oleh Simoi bermula dari Padang Lama KPSU Sri Aman pada jam 7.30 pagi menuju ke Kampung Hilir, Bandar Sri Aman, Kampung Hulu dan pulang kembali di padang terbabit.

Tamat.



No comments:

Post a Comment