Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

17 March, 2009

"Jangan cuba jadi hero, Dominique!" - Edwin


Mugshot: EDWIN RAOH

SRI AMAN, Selasa (17 Mac) – Tindakan Ketua Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Kuching iaitu Dominique Ng yang menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihanraya kecil Batang Ai pada 7 April ini sebagai ‘bidang terjun’ turut mendapat bantahan daripada Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) kawasan Batang Ai hari ini.

Timbalan Pergerakan Pemuda PRS kawasan Batang Ai, Edwin Raoh ketika dihubungi hari ini menjelaskan bahawa pemilihan Malcom Mussen Lamoh, 49, sebagai calon BN telah dibuat secara terperinci sebelum ini oleh pihak kepimpinan parti dan bukannya seperti yang dinyatakan oleh Dominique Ng.

“Lagipun Mussen juga cukup dikenali oleh semua penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai ketika beliau berkhidmat sebagai jurutera bagi Jabatan Pertanian Negeri Sarawak sebelum ini.

“Dominic Ng harus menjaga mulutnya sendiri berhubung kenyataan terbabit dan jangan cuba berlagak sebagai seorang ‘hero’ yang seolah-olah masak dengan keadaan dan peristiwa yang berlaku di kawasan Batang Ai sebelumnya,” kata beliau.

Selain itu kehadiran pihak PKR di kawasan Batang Ai kata beliau sebenarnya tidak diperlukan memandangkan penduduk di kawasan DUN berkenaan masih lagi arus pembangunan daripada pihak BN.

Ini kerana pembangunan yang dikecapi oleh penduduk di kawasan DUN Batang Ai selama ini jelas Edwin adalah merupakan hasil sumbangan pihak BN dan bukannya pembangkang.

“Pembangunan yang sedia ada di kawasan DUN Batang Ai pada sekarang adalah merupakan hasil usaha pihak BN dan nyata sekarang ini masih terdapat banyak kawasan yang perlu dibangunkan oleh kerajaan dari masa ke semasa.

“Penduduk di sana tahu bahawa pembangunan itu datangnya dari BN dan mereka masih memerlukannya sehingga sekarang. Jadi atas sebab ini saya berpendapat bahawa kehadiran pihak PKR adalah tidak diperlukan oleh penduduk,” katanya.

Pergerakan Pemuda PRS kawasan Batang Ai katanya juga menyokong penuh pencalonan Mussen untuk bertanding mewakili BN pada pilihanraya kecil di DUN Batang Ai pada 7 April nanti.

“Beliau (Mussen) layak menjadi calon. Ini kerana beliau sebelum ini mempunyai pengalaman berkhidmat di Jabatan Pertanian Sarawak sebagai seorang jurutera sebelum dipilih untuk menjadi calon BN bagi mempertahankan kerusi DUN Batang Ai.

“Atas sebab ini saya yakin bahawa beliau dapat melaksana usaha memajukan struktur pertanian terhadap semua rakyat di kawasan DUN Batang Ai sekiranya berjaya menjadi wakil rakyat di kawasan itu nanti,” katanya sambil menambah bahawa usaha ini akan dapat mempertingkat tahap ekonomi rakyat di kawasan berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment