Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 March, 2009

Isu pembayaran pampasan di Batang Ai itu isu lapuk kata Edwin


Mugshot: EDWIN RAOH

SRI AMAN, Khamis (5 Mac) - Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Batang Ai, Edwin Raoh berkata isu pembayaran pampasan tanah kepada penduduk yang terbabit dalam pembinaan projek Empangan Hidroelektrik Batang Ai yang pernah dipersoalkan pembangkang kini tidak lagi wujud.

Beliau berkata, pampasan tersebut telah dibayar kepada penduduk-penduduk Skim Penempatan Semula untuk Fasa I serta II pada tahun 2006 dan kerajaan negeri telah pun menunaikan janji dengan membayar pampasan sebanyak RM4,000 bagi setiap dua ekar tanah milik penduduk itu.

Bayaran terbabit adalah merupakan usaha mendiang Datuk Dublin Unting Ingkot yang telah mengotakan janji kerajaan kepada penduduk dan bukan sesekali disebabkan oleh desakan pihak pembangkang yang gemar membangkitkan isu seperti ini acapkali berlangsungnya pilihan raya.

“Persoalan di sini kenapa Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Batang Ai Nicholas Bawin Anggat gagal berusaha menunaikan permintaan itu ketika dia menjadi Ahli Lembaga Pembekalan Elektrik Sarawak (SESCo) Batang Ai sebelum ini?” soal beliau.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan-laporan akhbar dan analisis yang mengatakan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) bakal menjadi agenda utama pembangkang ketika pilihan raya kecil kelak.

Edwin berkata, pampasan yang diberikan selepas pilihan raya negeri 2006 membabitkan sebanyak 23 rumah panjang dalam skim Penempatan Semula Batang Ai merangkumi fasa I dan II.

Beliau juga memberitahu tanah NCR bukan satu lagi isu yang boleh didagang oleh pembangkang di kawasan berkenaan ketika pilihan raya kecil Batang Ai.

“Sambutan terhadap PKR di Batang Ai sekarang amat dingin tidak seperti mana yang digembar-gembur mereka sendiri,” kata beliau sambil menambah bahawa Batang Ai merupakan antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak dalam kawasan Parlimen Lubok Antu selain Engkilili.

Menurut beliau, Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu William Nyalau anak Badak yang memenangi pilihan raya umum pada Mac 2008 telah menunjukan prestasi kerja yang membanggakan dan disenangi oleh penduduk tempatan.

Edwin juga turut mendakwa bahawa mendiang Dublin cuma menang dengan majoriti 806 undi pada pilihan raya negeri 2006 adalah disebabkan oleh mantan Ahli Parlimen Lubok Antu, Jawah Gerang yang tidak sependapat dengan mendiang ketika hayatnya.

Malah Jawah yang masih bersama BN ketika itu dikatakan mempunyai penyokong di kawasan Batang Ai dan kumpulannya itu tidak memihak kepada mendiang Datuk Dublin.

“Tetapi apabila Nyalau menjadi Ahli Parlimen Lubok Antu dia telah bekerjasama rapat dengan mendiang Dublin. Para penyokong Jawah kini pun senang dengan Nyalau,” tambah beliau.

Tamat….

No comments:

Post a Comment