Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 March, 2009

Entulu pelawa Bawin join PRS

SRI AMAN, Selasa (24 Mac) – Timbalan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Joseph Entulu anak Belaun mempelawa Pengerusi Parti KeAdilan Rakyat (PKR) Batang Ai, Nicholas Bawin anak Anggat untuk menyertai komponen parti terbabit pada bila-bila masa sahaja.

Terdahulu Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam telah mengumumkan Jawah Gerang sebagai calon parti terbabit untuk bertanding di pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 7 April ini.

Bagaimanapun satu peristiwa ‘bertikam lidah’ dilaporkan berlaku pada malam sebelumnya di sebuah hotel terkemuka di Kuching apabila penyokong Jawah Gerang dan Nicholas Bawin Anggat tidak sependapat berhubung hal pemilihan calon PKR untuk pilihanraya kecil itu nanti.

“Mungkin beliau merasa terkilan dan kecewa setelah tidak dipilih sebagai calon PKR untuk bertanding di pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai pada 7 April ini nanti.

“Jika merasa tidak lagi diperlukan oleh PKR maka ada baiknya buat beliau (Bawin) untuk mula memikirkan penglibatan dirinya dalam bidang politik dengan menyertai salah sebuah parti komponen BN khasnya PRS,” kata beliau ketika ditemui Utusan Sarawak di Rumah Sri Aman lewat petang kelmarin.

Selain itu Bawin juga menurut Joseph tidak seharusnya mensia-siakan masa depan karier politiknya dalam PKR yang selama ini hanya berpandukan kepada keputusan seorang ketua iaitu Anwar.

Bawin menurut beliau sebenarnya mempunyai potensi untuk menjadi seorang pemimpin yang produktif dan mampu menyumbang ke arah pembangunan di kawasan Batang Ai sekiranya menyertai PRS dan bukannya PKR.

“Saya jamin bahawa PKR akan lenyap sekiranya Anwar sudah tiada kerana parti itu tidak ubah seperti ‘one man show party’ dan bukannya seperti BN yang menjadi milik semua penduduk berbilang kaum dan agama.

“Jadi saya menasihatkan Bawin untuk memikirkan sedalam-dalamnya mengenai pelawaan ini (menyertai BN) kerana pintu PRS sentiasa akan terbuka buat dirinya. Beliau mempunyai potensi untuk menjadi seorang pemimpin berkebolehan...itu pun jika dia mahu menyertai PRS selepas ini,” katanya.

Joseph turut menambah bahawa peristiwa ‘pertikaman lidah’ yang berlaku di antara penyokong Jawah dan Bawin menunjukkan bahawa para pemimpin dan ahli PKR sememangnya tidak sehaluan dalam hal politik.

“Peristiwa ini secara tidak langsung telah mendedahkan ‘wajah’ sebenar PKR terhadap penduduk di negeri ini kerana mereka lebih mementingkan keperluan politik mereka berbanding penduduk,” katanya.

Tamat.






No comments:

Post a Comment