Caption: GAMAT...Antara gelagat penduduk ketika hadir untuk menyaksikan program tersebut di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.
SRI AMAN, Sabtu (9 April) – Lebih daripada 2,000 orang penduduk membanjiri kawasan Dewan Suarah Sri Aman untuk menyaksikan pelbagai acara menarik yang diadakan sempena Program Jalinan Mesra 1 Malaysia di situ kelmarin.
Pertandingan Nyanyian Lagu Karaoke dan Pertandingan Tarian Poco-Poco merupakan acara pembuka tirai bagi Program Jalinan Mesra yang bermula seawal jam 12 tengahari itu.
Sebaik sahaja selesai acara terbabit sekitar jam 6 petang, program diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hajah Rohani Abdul Karim pada jam 9 malam.
Kedatangan beliau ke Dewan Suarah Sri Aman untuk tujuan perasmian program itu turut diiringi oleh calon BN N.27 Simanggang, Datuk Francis Harden anak Hollis dan calon BN untuk N.23 Lingga, Hajah Simoi Haji Peri.
Sebaik sahaja selesai upacara perasmian majlis, penduduk terus dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu oleh beberapa orang artis popular tempatan dan dari Semenanjung Malaysia.
Antara artis yang hadir untuk mempersembahkan nyanyian lagu pada program itu adalah Stevenson, Linda Simai, Winnie Albert, Claudia AF7, Haiza, Hail Amir dan Salimah Mahmud.
Kehadiran artis rakaman ini dilihat mengamatkan lagi suasana Dewan Suarah Sri Aman dengan sebahagian daripada penduduk menyaksikan persembahan artis kesayangan mereka menerusi projektor yang dipasang di perkarangan luar dewan berkenaan.
Penduduk juga turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian lagu oleh johan pertandingan karaoke dan traian poco-poco sebelum program ini berakhir sepenuhnya menjelang jam 11.30 malam.
Tamat.
No comments:
Post a Comment