Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 February, 2011

Tiada masalah untuk laksana projek kalau setia - Masir


Mugshot: MASIR KUJAT


SRI AMAN, Sabtu (5 Feb) - Kerajaan tidak akan mempunyai sebarang masalah untuk melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negeri ini sekiranya rakyat terus berdiri teguh dibelakang komponen parti BN Negeri.


Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berkata wajah pembangunan negeri Sarawak pada hari ini adalah hasil sokongan rakyat terhadap Dasar Politik Pembangunan yang diperkenalkan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud semenjak 30 tahun lalu.


“Menerusi Dasar Politik Pembangunan yang dibawa oleh Pehin Sri Taib, rakyat pada sekarang telah menikmati pelbagai kemudahan asas dan infrastruktur serta peningkatan taraf hidup semenjak mereka menyokong kuat BN selama ini.


“Sokongan berterusan seperti inilah yang kita mahukan daripada rakyat supaya kerajaan dapat terus merangka serta melaksanakan pelan pembangunan di semua kawasan dalam negeri ini,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Jiwa Murni Tentera Darat Malaysia di Rumah Michael John, Entebar, Batu Lintang, Sri Aman baru-baru ini.


Masir turut menambah bahawa pihak pembangkang tidak akan mampu membawa pembangunan kepada rakyat sekiranya mereka memegang tampuk pemerintahan kerajaan di negeri ini.


“Justeru untuk melihat negeri ini terus maju pada tahun akan datang saya menasihatkan semua rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada BN dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan di kawasan masing-masing,” katanya.


Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Residen Sri Aman, Abdul Rahman Sebli Sanusi, Panglima Markas 3 Briged Kuching, Brigedier Jeneral Datuk Ramli Jaafar dan Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad.

Program Jiwa Murni Tentera Darat Malaysia yang berlangsung selama tiga hari di Rumah Michael John, Entebar ini telah diselitkan dengan aktiviti pemeriksaan kesihatan dan pemberian ubatan percuma kepada penduduk.

Tamat.

No comments:

Post a Comment