Caption: PENGUMUMAN...Razali (tengah) bersama Rahman (kiri), Felicia (kanan) dan Jack (kanan sekali) ketika berlangsung sidang media di sini hari ini.
SRI AMAN, Rabu (23 feb) – Pelbagai program menarik telah dirancang bagi memeriahkan sambutan Program Senada Sejiwa Bahagian Sri Aman 2011 di Padang Lama KPSU Sri Aman (berdekatan Dewan Suarah Sri Aman) bermula 25 hingga 27 Februari ini.
Pengarah Unit Pemantauan Perlaksanaan Negeri Sarawak, Dr Razali Abon mengumumkan perkara ini pada sidang media sebaik sahaja selesai mempengerusi mesyuarat jawatankuasa induk program berkenaan di Pejabat Residen Sri Aman hari ini.
Program Senada Sejiwa yang bermula jam 2.30 petang pada 25 Februari ini katanya akan dihiasi dengan aktiviti pertandingan e-peraduan, saringan awal karaoke, petanque, street soccer, soccer penalty shoot, menyumpit, netball shoot dan boling kelapa.
“Ia diteruskan lagi pada sebelah malam dengan aktiviti pameran, pertandingan e-peraduan, pentas rakyat, persembahan kebudayaan, persembahan nyanyian artis tempatan dan pertandingan fesyen kanak-kanak,” katanya.
Bagi waktu siang hingga perang pada 26 Februari pula, Program Senada Sejiwa akan diteruskan dengan aktiviti pameran, pertandingan e-peraduan, saringan karaoke, petanque, street soccer, lari ikat kaki, lari ikat kaki berpasangan, meniup belon, membawa bola ping-pong dalam sudu, boling kelapa serta ceramah latihan dan kerjaya.
Aktiviti yang akan berlangsung pada waktu malam pada 26 Februari ini kata Razali pula adalah pameran, pertandingan e-peraduan, pentas rakyat, persembahan kebudayaan, persembahan nyanyian artis tempatan dan pertandingan Ratu Sejiwa Senada.
“Untuk 27 Februari pula pihak kita akan mengadakan pameran, pertandingan e-peraduan, senaman kenyalang, pertandingan mewarna, pertandingan mengisi air dalam botol, memancing botol, lari dukung anak sambil makan biskut, pecah belon sambil makan biskut, menganyam ketupat, berjalan atas bata, mumia tisu dan masuk benang dalam jarum.
“Pada waktu sebelah malamnya pula pihak kita akan mengadakan pameran, pertandingan e-peraduan, pentas rakyat, persembahan kebudayaan, persembahan nyanyian artis tempatan, juara karaoke dan persembahan nyanyian artis tajaan ASTRO,” katanya.
Program Senada Sejiwa Bahagian Sri Aman yang melibatkan penyertaan sebanyak 66 buah agensi persekutuan, 52 buah agensi negeri 12 buah badan berkanun itu akan dirasmikan oleh Ketua Menteri,Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud bersama isteri, Puan Sri Ragad Waleed Al-Kurdi pada 26 Februari ini bermula jam 10.30 pagi.
“Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Haji Mohamad Morshidi Abdul Gani akan menyempurnakan ‘soft opening’ program bermula jam 2.30 petang pada 25 Februari dan seterusnya majlis penutupan program bermula jam 4.30 petang pada 27 Februari ini.
“Pihak kita mensasarkan kehadiran seramai 50,000 pengunjung pada program itu kelak. Maka diharap agar penduduk terutama sekali golongan pelajar tidak melepaskan peluang berkunjung ke program ini nanti,” kata Razali.
Hadir sama pada sidang media itu ialah Residen Sri Aman, Abdul Rahman Sebli Sanusi, Timbalan Residen Sri Aman, Felicia Tan Yian Hua dan Desmond Douglas Jerukan, Pegawai Daerah Lubok Antu, Jack Aman Luat dan wakil jabatan kerajaan yang lain.
Tamat.
No comments:
Post a Comment