Caption: MANFAATKAN...Hajah Nancy (kiri) menyampaikan oven kepada wakil Kemas iaitu Ramlah Haji Labah (kanan) sambil disaksikan oleh Zuraidah pada majlis itu.
SIMUNJAN, Isnin (14 Feb) - Ahli Parlimen P.200 Batang Sadong, Hajah Nancy Hajah Syukri, telah merasmikan majlis penyerahan oven kepada 25 buah Kelas KEMAS bertempat di perkarangan Kelas PJK KEMAS, Kampung Nanas, Simunjan baru-baru ini.
Katanya peralatan oven berkenaan akan di tempatkan di setiap kelas KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat) demi memudahkan para wanita berkumpul untuk menggunakan oven tersebut selepas itu.
“Ini adalah peluang terbaik yang diberikan oleh kerajaan demi memajukan hidup para wanita disamping membantu golongan berkenaan untuk menjana pendapatan bagi meringankan bebanan keluarga masing-masing dari masa ke semasa.
“Justeru saya berharap agar para wanita memanfaatkan bantuan ini sebaik mungkin demi untuk memperkasakan golongan mereka menerusi bantuan pihak KEMAS. Dengan cara ini saya berharap para wanita akan lebih berdikari,” katanya.
Selain itu Hajah Nancy menerusi majlis berkenaan juga turut menyampaikan sumbangan atas inisiatifnya sendiri berupa baja kepada para pekebun kecil sawit dari kawasan Parlimen Batang Sadong.
Terdahulu Penyelia KEMAS P.200 Batang Sadong iaitu Zuraidah Abdul Kadir menerusi ucapan penghargaannya berkata pihak KEMAS akan sentiasa membantu dan memberikan kerjasama kepada para wanita terbabit.
Manakala wakil penduduk, iaitu Haji Sah bin Kazim dalam ucapan aluannya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak kerajaan atas sumbangan tersebut.
Menurut beliau sumbangan daripada Hajah Nancy telah membuktikan bahawa keperihatinan kerajaan yang berperinsipkan Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.
Majlis tersebut dihadiri oleh kira-kira 200 orang termasuk ketua-ketua kaum dan para kakitangan kerajaan.
Tamat.
No comments:
Post a Comment