Caption: SERONOK...Sebahagian daripada para pengunjung yang hadir bagi menyaksikan Pertandingan Karaoke sempena sambutan Pesta Pantu di sini kelmarin.
PANTU, Sabtu (29 Mei) – Ribuan orang pengunjung membanjiri kawasan Pekan Pantu, Sri Aman untuk menyaksikan pelbagai acara menarik yang berlangsung menerusi Pesta Pantu 2010 di situ kelmarin.
Rata-rata para pengunjung yang datang dari Serian, Betong dan Kuching kelihatan begitu ghairah untuk berhimpun di Pengkalan Pantu yang terletak tidak jauh dari kawasan penganjuran utama pesta untuk menyaksikan Pertandingan Menangkap Ikan dan Menjala Udang, Sukan Air dan Sukan Rakyat yang berlangsung di situ.
Manakala di kawasan Pekan Pantu pula para pengunjung berpeluang untuk mendapatkan pelbagai produk tempatan yang menarik disamping menikmati pelbagai juadah makanan dan minuman yang ditawarkan oleh peniaga di situ.
Malahan para pengunjung juga turut dihiburkan dengan peringkat saingan Pertandingan Karaoke yang merupakan salah satu acara Pentas Rakyat dan telah bermula pada jam 2 petang di situ kelmarin.
Disamping itu mereka juga akan turut dihiburkan dengan persembahan Nyanyian Penyanyi Jemputan Terkenal Iban, Melayu dan Cina dan Pertandingan Ratu Etnik Pesta Pantu 2010 yang juga akan berlangsung pada hari ini.
Seorang pengunjung iaitu James Langgang Jipon, 20, ketika ditemui hari ini menjelaskan bahawa penganjuran Pesta Pantu buat kali ke-2 yang diadakan di Pekan Pantu ini cukup menarik dan mengkagumkan.
“Tahniah kepada Pejabat Daerah Kecil Pantu dan Pejabat Daerah Sri Aman kerana telah berjaya menganjurkan pesta seperti itu di sini...acara yang dianjurkan cukup menarik dan saya cukup berpuashati dengannya,” kata beliau.
Pesta Pantu 2010 di Pekan Pantu yang telah bermula secara rasminya kelmarin hingga ia berakhir pada 30 Mei kelak telah menampilkan acara baru iaitu Larian Cross Country kelmarin.
Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut Masing bakal merasmikan Pesta Pantu 2010 bertempat Pentas Rakyat Pantu pada malam ini (29 Mei). Pesta Pantu asalnya diberi nama Pesta Ikan Tapah yang dianjurkan di situ pada tahun lepas.
Tamat.
No comments:
Post a Comment