Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

21 May, 2010

Kontraktor wajib ambil kursus Modul Bisnes selepas ini - Mashan


Caption: UNTUK ALBUM...Mashan (duduk tengah) ketika bergambar kenangan bersama kursus bisnes CIDB di sini kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (21 Mei) – Modul Bisnes iaitu modul yang telah dibangunkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) akan dijadikan sebagai satu kursus wajib untuk setiap kontraktor yang berdaftar dengan CIDB selepas ini.

Pengarah M-Arcorp Enterprises Sendirian Berhad, Mashan Haji Ahmad Rais berkata kursus Modul Bisnes ini juga boleh diambil oleh individu yang akan menceburkan diri dalam bidang bisnes atau bagi mana-mana kontraktor yang belum berdaftar dengan pihak CIDB.

“Modul ini sebagai salah satu cara untuk setiap kontraktor mengumpul mata “Contractor Continous Development” (CCD) bagi tujuan pembaharuan lesen masing-masing mulai tahun 2010.

“Selain itu modul ini juga secara tidak langsung mampu menambah pengetahuan dan tahap professionalisme kontraktor dalam bidang bisnes dan daya saing,” katanya sambil menambah bahawa modul ini juga dapat menambah tahap keyakinan umum terhadap kebolehan dan kompetensi kontraktor tempatan.

Menerusi Modul Bisnes ini katanya para peserta berpeluang untuk menjalani kursus Jaringan Perniagaan, Teknologi Komunikasi Dan Maklumat, Maklumat Pasaran, Profail Syarikat, Analisa Dan Laporan, Membina Hubungan Rakan Dan Niaga dan Asas Simpan Kira.

Semua peserta kata Mashan akan diberikan sijil kehadiran yang akan digunakan sebagai bukti untuk memperbaharui pendaftaran CIBD disamping peruntukan sejumlah 25 mata CCD untuk Modul Bisnes.

“Kursus akan dijalankan dimana-mana tempat yang terpilih. Yuran sebanyak RM200 akan dikenakan terhadap syarikat yang telah berdaftar dengan CIDB manakala RM400 pula untuk syarikat yang belum berdaftar dengan CIDB berkuatkuasa 1 Jun nanti.

“Pembayaran boleh dibuat kepada CIDB atau M-Arcorp Enterprise dengan menggunakan wang pos, draft bank atau tunai. Mereka boleh menghubungi M-Arcorp Enterprises menerusi Rostia atau Juliawati, 082-441601 atau 019-8565601 selepas ini untuk sebarang pertanyaan lanjut atau pendaftaran,” katanya.

Terdahulu seramai 26 orang kontraktor atau bakal kontraktor dari kawasan Bahagian Sri Aman mengambil bahagian dalam Kursus Pengurusan Bisnes Kontraktor CIDB bagi Siri Ke-33 di sebuah hotel tempatan dalam bandar ini.

Kursus Pengurusan Bisnes Kontraktor CIDB bagi Siri Ke-33 yang dikendalikan oleh syarikat M-Corp Enterprise Sendirian Berhad ini telah bermula semenjak 18 Mei lalu di hotel berkenaan hingga hari ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment