Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 April, 2010

Pesta Benak Sri Aman 2010 berakhir


Caption: BORONG HABIS GENG!Gambar menunjukkan para pengunjung yang sedang membanjiri Gerai Bazaar Ria Pesta Benak pada hari terakhir sambutan pesta berkenaan malam tadi.

SRI AMAN, Isnin (3 Mei) - Benak Sri Aman 2010 telah berakhir secara rasminya dalam bandar ini malam tadi semenjak ia bermula pada 28 April lepas.

Sudah tentunya Bandar Sri Aman telah menerima lebih 20,000 pengunjung dari dalam dan luar kawasan Sri Aman tanpa mengira umur, latar belakang agama dan etnik kaum di negeri ini.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak pada malam tadi mendapati bahawa ribuan orang pengunjung membanjiri kawasan Bazaar Ria untuk membeli barangan atau produk tertentu.

Para pengujung berpeluang untuk berbuat demikian setelah para peniaga mula menutup operasi Gerai Bazaar Ria di beberapa kawasan tertentu dalam bandar ini melainkan di laluan Main Bazaar dan kawasan Jalan Astana.

Selain itu para pengunjung juga turut tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan Pertandingan Benak Idol di Pentas Sri Aman Kitchen dan Majlis Penutupan Pesta Benak Sri Aman 2010 di Pentas Kebudayaan Pesta Benak.

Majlis Penutupan Pesta Benak Sri Aman 2010 yang disempurnakan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis merupakan simbolik penutupan Pesta Benak bermula 28 April hingga 2 Mei.

Secara keseluruhannya sambutan Pesta Benak Sri Aman 2010 telah memberikan kepuasan terhadap semua pengunjung yang hadir bagi memeriahkan penganjuran pelbagai acara menarik dalam bandar ini.

Sambutan selama lima hari Pesta Benak ini membolehkan para pengunjung untuk menyaksikan acara Regatta, Sukaneka Air, Pertandingan Rythm Of 1Malaysia, Sri Aman Kitchen, Pameran, Bazaar Ria, Wayang Pacak, Persembahan Kebudayaan, Pertunjukkan Bunga Api dan banyak lagi.

Seorang penduduk, Gabriel Genut, 22, ketika ditemui menjelaskan bahawa Bandar Sri Aman tiba-tiba menjadi amat sepi selepas tamatnya sambutan Pesta Benak Sri Aman 2010 malam tadi.

“Pesta Benak kali ini dianggap amat menarik. Tentulah hanya pada hari terakhir sambutan Pesta Benak barulah hujan turun menyebabkan kurangnya kehadiran penduduk pada waktu pagi kelmarin.

“Menyaksikan kedatangan Benak berketinggian 6.3 meter di Sungai Batang Lupar pada hari Jumaat lepas adalah pengalaman paling bermakna untuk diri saya. Ditambahi pula kemeriahan sambutan Pesta Benak 2010 tetap akan diingati oleh saya selepas ini,” katanya.

Tamat.





No comments:

Post a Comment