BALAI RINGIN, Selasa (6 April) – Rakyat dijangka mampu mempertingkatkan taraf hidup masing-masing menerusi konsep bantu diri sendiri yang akan diperkasakan menerusi program Satu Komuniti Satu Koperasi (1K1K) pada tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan berkata program 1K1K terbabit adalah merupakan salah satu usaha oleh pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk membantu rakyat melibatkan diri di dalam aktiviti ekonomi dan sosial pada semua peringkat.
“Kerajaan menerusi SKM mahu semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama dari kawasan bandar, luar bandar, wilayah dan dalam negeri ini untuk melibatkan diri di dalam aktiviti ekonomi serta sosial di bawah perlaksanaan program 1K1K.
“Rakyat berpeluang untuk menyertai aktiviti koperasi yang terlibat dalam bidang pemborongan dan peruncitan, pemantapan perkhidmatan koperasi kredit tulen disamping galakkan koperasi besar membantu koperasi kecil melalui program mentor-mentee,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penutupan Seminar Kepengunaan Komuniti Bestari Balai Ringin 2010 anjuran Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Korperasi dan Kepengunaan Sarawak bertempat di Balai Ringin, Serian baru-baru ini.
Selain itu penubuhan koperasi di kalangan golongan muda menurut Snowdan juga adalah digalakkan bagi menerapkan nilai-nilai dan budaya kerja secara bersama-sama di kalangan anggota koperasi selepas ini.
Malahan amalan tadbir urus baik juga katanya perlu dipraktikkan oleh koperasi dari perspektif pentadbiran, pengurusan kewangan, perundangan dan sebagainya sejajar dengan penetapan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) iaitu meningkatkan sumbangan sektor koperasi kepada pembangunan sosio-ekonomi rakyat.
“SKM juga telah mempermudahkan proses penubuhan koperasi dan menggalakkan penubuhan koperasi baru seperti koperasi kejiranan, koperasi qariah masjid, koperasi rumah pangsa dan sebagainya.
“Hasilnya 100 buah koperasi didaftarkan dalam tahun 2009 secara puratanya pada setiap bulan. Ini suatu pencapaian yang membanggakan berbanding dengan sasaran 800 buah koperasi disepanjang Rancangan Malaysia Ke-9,” menurut beliau.
Justeru beliau berharap agar perlaksanaan program 1K1K pada tahun ini akan dapat mengalakkan penyertaan lebih ramai rakyat dalam kegiatan koperasi di masa akan datang.
Hadir sama ialah Penolong Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Sarawak, Mohd Arfazheel bin Amsir, Penolong Pengarah SKM Daerah Serian), Mohd Noor Firdaus bin Fadzil, para pegawai kerajaan, ketua kaum dan penduduk di sini.
Tamat.
No comments:
Post a Comment