Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 April, 2010

Bank Rakyat Sarikei anjur seminar Skor A di SK Datuk Bandar Debak


Caption: IKHLAS…Lidzan (dua dari kanan) sedang menyerahkan cek sumbangan kepada Rapaiee (kiri) sambil disaksikan oleh Razi (tengah) ketika berlangsungnya majlis itu.

DEBAK, Khamis (22 April) – Seramai 250 murid daripada 13 buah sekolah rendah dalam Bahagian Betong menyertai Seminar Skor ‘A’ Ujian Penilan Sekolah Rendah (UPSR) bertempat di Dewan Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak baru-baru ini.

13 buah sekolah berkenaan adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Bandar Debak, SK Semarang, SK Pusa, SK Kalok, SK Tui, SK Nanga Gayau, SK Dit, SK Tambak, SK Saint Christopher, SK Maludam, SK Muton, SK Abang Leman Kabong dan SK Abdul Rahman Saratok.

Wakil Pegawai Pelajaran Daerah Betong, Ricky Mohammad Razi Sitam berkata Seminar Skor ‘A’ ini adalah merupakan anjuran Bank Rakyat cawangan Sarikei dengan kerjasama Berita Harian Sendirian Berhad dan Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) SK Datuk Bandar Debak.

"Ia merupakan usaha pihak sekolah untuk memperbaiki dan mempertingkatkan kecemerlangan akademik murid-murid Tahun 6 melalui pendedahan kemahiran menjawab soalan UPSR oleh panel-panel dan guru pakar yang dibawa khas dari Kuala Lumpur.

"Seminar ini juga memberi ruang untuk kepada para guru dan murid-murid Tahun 6 dari 13 buah sekolah terbabit untuk berkongsi kemahiran ini. Justeru saya berharap agar mereka memanfaatkan kemahiran ini untuk memperoleh markah lebih tinggi dalam peperiksaan UPSR ini nanti," katanya.

Razi yang juga Yang Dipertua PIBG SK Datuk Bandar Debak berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Seminar Skor ‘A’ UPSR di Dewan Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Debak berkenaan.

Sementara itu Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat Kuala Lumpur, Abdul Lidzan Mohd Alias berkata tujuan utama Bank Rakyat menganjurkan seminar ini adalah bagi membantu anak-anak ahli Bank Rakyat untuk menyiapkan diri dalam menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun ini.

"Ia merupakan penghargaan kepada anggota Bank Rakyat di daerah ini. Melalui seminar ini para murid ditaja dengan bahan bacaan dan beg secara percuma untuk tujuan pembelajaran di sekolah," katanya.

Beliau turut menambah bahawa Bank Rakyat turut beroperasi sepenuhnya secara syariah untuk menawarkan pelbagai kemudahan simpanan pelaburan kepada murid-murid seperti Akuan Simpanan-i Syabab (Remaja) dengan tabungan minimum berjumlah RM10.

Manfaat yang akan diperolehi oleh pemegang akaun ini katanya adalah merupakan perlindungan takaful secara percuma disamping tawaran ganjaran kecemerlangan akademi dikalangan pemegang akaun terbabit.

Terdahulu menerusi majlis berkenaan Abdul Lidzan telah menyerahkan cek sumbangan bernilai RM1,200untuk bantuan pembiayaan kelengkapan murid-murid asrama SK Datuk Bandar Debak.

Hadir sama Pengurus Bank Rakyat cawangan Kuching, Azman Abdul Aziz, Pengurus Bank Rakyat cawangan Sarikei, Mohd Al Namiri Che Man, Penolong Pengarang Pendidikan Berita Harian, Mohamad Muda dan Guru Besar SK Datuk Bandar, Rapaiee Bulat.

Tamat.

No comments:

Post a Comment