Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 September, 2009

Keluarga miskin dari kampung Spaoh Bara, Simunjan tak dapat celebrate raya







Caption:

1.BANTU KAMI...Mokhtar bersama anak-anaknya ketika berada di hadapan rumah usang mereka ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

2.MEMILUKAN...Keluarga Mokhtar terpaksa bergantung kepada dapur usang di dalam rumah mereka ini bagi tujuan memasak atau memanaskan air.

3. DAIF...Beginilah keadaan rumah keluarga Mokthar ketika dikunjungi Utusan Sarawak.

SIMUNJAN, Selasa (22 Sept) – Sambutan Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2009 yang bermula semenjak hari Ahad lalu sudah semestinya disambut meriah oleh seluruh umat Islam dalam dunia khususnya di Malaysia.

Kemeriahan sambutan perayaan hari mulia ini terasa apabila umat Islam mengadakan aktiviti mengunjungi sanak saudara dan rakan masing-masing setelah sebulan ‘berjuang’ menahan hawa nafsu ketika berlangsungnya bulan Ramadhan sebelum ini.

Namun keadaan sebaliknya berlaku terhadap keluarga Mokhtar bin Abdullah dari Kampung Spaoh Raba, Simunjan apabila faktor kemiskinan menyebabkan keluarga ini tidak mampu menikmati dan meraikan sambutan Hari Raya berbanding dengan keluarga berkemampuan di situ.

Tinggal di rumah kecil yang usang, Mokhtar atau nama sebenarnya sebelum memeluk Islam iaitu Mathew anak Dana, 43, terpaksa mengutamakan keperluan sara hidup lima orang anaknya dengan bertani dan mengambil upah sebagai buruh sambilan selama ini.

“Kehidupan kami sekeluarga lebih terseksa semenjak ditinggalkan isteri kira-kira enam bulan lepas. Kini tanggungjawab untuk menjaga lima orang anak terletak di bahu saya seorang,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

Walaupun anak keduanya iaitu Flora, 16, sudah berkahwin namun Mokthar masih mempunyai tanggungjawab yang berat untuk membesarkan empat orang lagi anaknya yang lain iitu Helmy, 18, Ira Fanzira, 14, Florina, 12 dan Khairul Faizal, 10.

“Pendapatan kasar saya hanya RM250 sebulan. Untuk membelanjakan keperluan hidup anak-anak sahaja sudah tidak cukup jangankan pula ketika hendak berbelanja untuk menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri.

“Justeru apa yang mampu kami anak beranak lakukan adalah duduk di rumah sahaja dan bersembahyang kepada Tuhan agar meringankan bebanan yang ditanggung oleh kami sekeluarga selama ini,” menurut beliau.

Dengan dua orang anaknya yang masih bersekolah ketika ini iaitu Florina dan Khairul, beliau berharap agar ada pihak yang tampil untuk membantu mengurangkan bebanan keluarga selepas ini.

“Hendak menyambut perayaan hari mulia ini secara ala kadar pun tidak mampu memandangkan hidup kami sekeluarga umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya sambil menambah bahawa beliau belum pernah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan sebelum ini.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak mendapati bahawa rumah keluarga terbabit hanya mempunyai satu ruang tamu dan satu ruang dapur. Untuk mandi, keluarga berkenaan terpaksa keluar dari rumah untuk mendapatkan sumber air dari paip air berdekatan.

Tamat.




No comments:

Post a Comment