Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 August, 2009

BSMM bagi bantuan kepada mangsa kebakaran rumah panjang Buyong Panjai


Caption: SUMBANGAN...Sim (kiri) sedang menyampaikan bantuan kepada Tr Keling (kanan) sambil disaksikan oleh exco BSMM Sri Aman dan ahli JKKK rumah panjang berkenaan semalam.

BETONG, Selasa (11 Ogos) – Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) cabang Sri Aman telah tampil sekali lagi untuk membantu mangsa kebakaran dari Rumah Kiling, Buyong Panjai, Lidong, Skrang apabila mereka menyampaikan bantuan kepada keluarga mangsa di sini semalam.

Pertubuhan berkenaan sebelum ini pernah tampil membantu 42 keluarga mangsa kebakaran berkenaan dengan menyampaikan sumbangan berupa beras, mee segera dan pakaian terpakai pada 28 Julai lalu.

Bantuan berupa selimut, bantal, pakaian dan bahan pencuci kesihatan hasil sumbangan BSMM kepada keluarga mangsa di situ semalam telah disampaikan oleh pengerusinya Sim Kok Kee kepada Tuai Rumah Keling sambil disaksikan oleh para exco pertubuhan yang lain.

Sim ketika ditemui Utusan Sarawak semalam menjelaskan bahawa bantuan berupa selimut, bantal, pakaian dan bahan pencuci kesihatan itu pernah disumbangkan oleh pihak BSMM cabang Kuching sebelum ini.

“Ia merupakan lawatan kedua oleh pihak BSMM cabang Sri Aman ke rumah panjang Buyong Panjai semenjak lawatan pertamanya pada 28 Julai lalu yang disertai oleh Pengerusi Bencana Alam, Mas Mashore Haji Maslem, Naib Pengerusi II BSMM cabang Sri Aman, Paul Lu dan Bendahari Kehormat, Tay Soon Seng.

“Tujuan kedatangan kami di sini ialah untuk memantau keadaan mangsa kebakaran berkenaan di samping memberikan seberapa banyak bantuan yang boleh bagi membantu golongan kurang bernasib baik berkenaan,” katanya.

Beliau juga berharap agar mangsa kebakaran ini sentiasa bersabar memandangkan terdapat lebih ramai pihak bakal tampil untuk menghulurkan bantuan kepada mereka selepas ini.

“Justeru BSMM cabang Sri Aman berharap agar semua mangsa kebakaran ini dapat memanfaatkan segala bantuan atau sumbangan yang mereka terima demi kebaikan diri masing-masing,” katanya.

Sejumlah 28 buah pintu rumah panjang Buyong Panjai, Lidong, Skrang musnah menerusi kejadian kebakaran yang dipercayai muncul dari kawasan beranda atas keluarga Tanang Sa bermula jam 6 petang pada 28 Julai lalu.

Tamat.


No comments:

Post a Comment