Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 August, 2009

Banyak kebakaran belukar di Sri Aman semenjak 30 Julai

SRI AMAN, Khamis (6 Ogos) – Seluas 300 hektar ( atau ekar) kawasan belukar di Dor Klauh, Entulang musnah akibat kejadian kebakaran yang melanda kawasan terbabit semenjak 30 Julai lalu hingga sekarang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman ketika dihubungi berkata pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran hutan berkenaan 30 Julai sekitar jam 10.41 malam.

“Pihak kami telah menghantar seramai lima orang anggota dengan jentera trak pemadam kebakaran terbabit ke kawasan kejadian itu yang kini mula memusnahkan kawasan penanaman sawit di situ semenjak dua hari lepas.

“Api dilaporkan masih lagi merebak di kawasan Dor Klauh hingga sekarang dan usaha memadam kebakaran belukar dan tanaman sawit masih lagi dilaksanakan dengan bantuan beberapa orang pekerja ladang di situ,” katanya.

Selain itu pihaknya juga turut menerima laporan mengenai kejadian kebakaran yang berlaku di kawasan Sungai Nyala hingga ke Tinting Panjai, dalam kawasan Gua dan Selepong pada jam 8.40 malam tadi.

Pihak bomba menurut beliau kemudiannya bertindak menghantar dua orang anggota ke kawasan tapak kejadian tersebut pada hari ini untuk memantau kesan lanjut kebakaran yang dipercayai memusnahkan tanaman milik penduduk dari kawasan Gua dan Selepong di situ.

“Selain dari kawasan Sungai Nyala dan Dor Klauh, pihak kami juga turut menerima laporan kejadian kebakaran yang berlaku di Lachau, Nyelam, Ibol dan di Golden Fames Plantation, Pantu semenjak 30 Julai lalu,” katanya.

Terdahulu sumber dari kawasan kejadian kebakaran di Sungai Nyala dan Tinting Panjai (Gua – Selepong) memberitahu bahawa api kebakaran mula berlaku di kawasan tersebut sekitar jam 5 petang kelmarin.

Kejadian kebakaran di kawasan tersebut telah memusnahkan tanaman lada, getah dan sawit milik penduduk dari Gua dan Selepong walaupun api kebakaran terus berlaku sehingga jam 1 pagi tadi.

Tiada aktiviti pembakaran terbuka berlangsung ketika kejadian. Bagaimanapun sumber percaya bahawa api kebakaran di situ disebabkan oleh tindakan sesetengah pihak yang membuang puntung rokok di kawasan semak berkenaan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment