Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 April, 2010

1,200 peserta bakal berentap untuk Regatta Pesta Benak 29 April ini


Caption: JADI REBUTAN...Piau (kiri) bersama Jack (kanan) merakamkan gambar kenangan di hadapan piala pusingan yang disediakan untuk para pemenang pada acara yang dipertandingkan dalam Regatta Pesta Benak 2010 ini nanti.

SRI AMAN, Isnin (26 April) - Sungai Batang Lupar, Sri Aman bakal berkocak menerusi kayuhan oleh 1,200 peserta yang bakal berentap dalam 58 acara Pertandingan Regatta bermula 29 April hingga 2 Mei ini bersempena dengan sambutan Pesta Benak Sri Aman 2010.

Bercakap pada sidang media di Majlis Daerah Sri Aman hari ini, Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Regatta Pesta Benak 2010, Jack Aman Luat ketika ditemui berkata kesemua peserta ini bakal berentap dalam tiga buah kategori yang dipertandingkan dalam acara terbabit iaitu Kategori Swasta, Kategori Kerajaan dan Kategori Terbuka.

"Tiga buah acara bakal diadakan pada sambutan hari pertama penganjuran Pertandingan Regatta 2010 pada 29 April ini iaitu Lumba Perahu, Lumba Bot Laju dan Lumba Pam Ski 6 Kuasa Kuda.

"Penganjuran hari pertama Regatta yang bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud ini menyaksikan sejumlah 162 penyertaan dan 58 buah perahu berdaftar untuk acara Lumba Perahu (Lelaki / Perempuan), 4 penyertaan untuk acara Lumba Bot Laju dan 83 penyertaan untuk Lumba Pam Ski 6 Kuasa Kuda," katanya.

Manakala itu pada 30 April pula kata Jack, sejumlah 12 buah acara akan diadakan pada Pertandingan Regatta ini menerusi Sakai 10, 15, 20, 25 (Lelaki / Wanita), Melawan Arus Sakai 15 Perempuan, Melawan Arus Sakai 30 Lelaki dan acara baru iaitu Lumba Pecut 300 Meter Sakai 30 Lelaki.

Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin menurut beliau akan menyempurnakan upacara pelepasan bendera pada jam 8 pagi sebagai simbolik berlangsungnya acara Regatta pada 30 April ini.

"Pada 1 Mei pula akan berlangsung 14 buah acara iaitu Sakai 10, 15, 20, 25, 30 (Lelaki / Wanita) dan Lumba Pecut 200 Meter Sakai 20 Lelaki manakala 10 buah acara lagi dipertandingkan pada 2 Mei ini iaitu Sakai 10, 15, 20, 25 dan 30 (Lelaki / Perempuan).

"Secara keseluruhan sejumlah RM101,495 hadiah wang tunai ditawarkan kepada para pemenang bagi semua acara Regatta yang akan berlangsung dari 29 April hingga 2 Mei ini juga termasuk penyediaan 129 buah piala yang menelan kos bernilai RM40,160," katanya.

Kesemua acara yang membabitkan penyertaan peserta dari Betong, Kuching, Lubok Antu, Saratok, Pantu, Limbang, Lawas, Kapit dan Sebuyau ini nanti pada Pertandingan Regatta ini nanti akan bermula dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang bermula 29 April hingga 2 Mei kelak.

Difahamkan bahawa Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Haji Muhammad Salahuddin bersama Toh Puan Hajah Norkiah, Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dan Menteri Perumahan, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg telah menyumbang piala pusingan untuk pertandingan ini nanti.

"Pihak Jawatankuasa Pengelola Regatta Pesta Benak 2010 menjangka Pertandingan Regatta Pesta ini mampu menarik perhatian seramai 20,000 orang pengunjung ketika berlangsungnya acara berkenaan bermula 29 April kelak," katanya.

Hadir sama pada sidang media terbabit ialah Penasihat Jawatankuasa Pengelola Regatta Pesta Benak 2010 merangkap Walikota Sri Aman, Piau anak Inggot.

Tamat.

No comments:

Post a Comment