Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 September, 2009

Tingkatkan semangat perpaduan menerusi gagasan 1Malaysia kata Harden


Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS


SRI AMAN, Isnin - Konsep Rumah Terbuka dan amalan kunjung mengunjung semasa musim perayaan dapat memupuk dan meningkatkan semangat perpaduan penduduk berbilang kaum dalam negeri ini menerusi gagasan 1 Malaysia.


Menteri Muda Kemajuan Tanah Sarawak, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata, kedua-dua konsep itu adalah medan terbaik untuk penduduk yang berbeza agama dan budaya untuk mengeratkan tali silaturahim di antara satu sama lain.


"Amalan ini perlu diteruskan bukan sahaja ketika sambutan Hari Raya malah pada sambutan Tahun Baru Cina, Gawai Dayak, Krismas mahupun Deepavali.


"Melalui amalan murni terbabit kesemua penduduk akan dapat memahami serta menghormati agama, kebudayaan dan adat resam lain-lain kaum dalam negeri untuk sepanjang masa,”menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkenaan.


Harden berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Pintu Gerbang 1430H / 2009M bertempat di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman malam tadi.


Selain itu penduduk berbilang kaum dalam negeri ini harus menanam dan menyemai semangat perpaduan untuk menjamin sebuah negara yang bebas serta bersatu padu ke arah menuju Wawasan 2020.


"Pertekankan elemen bekerjasama dan tolenrasi dalam amalan hidup seharian. Dua faktor ini dapat memperkukuhkan semangat perpaduan dikalangan penduduk berbilang kaum dalam negeri ini di masa akan datang,” katanya.


Terdahulu Harden pada majlis itu telah menyampaikan cek replika bernilai RM16,000 kepada lapan buah JKKK yang terlibat dalam penganjuran Pertandingan Pintu Gerbang pada tahun 2009.


Beliau juga turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM 3,000 kepada sembilan buah JKKK yang akan menyertai pertandingan ini pada tahun 2010 termasuklah sebuah JKKK iaitu JKKK Taman Sri Jaya.


Dalam pada itu, johan pertandingan pintu gerbang ini telah disandang oleh JKKK Paya Jaya Utara Kampung Muhibbah manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing telah disandang oleh JKKK Zon Selatan Kampung Muhibbah dan JKKK Zon Tengah Kampung Muhibbah.


Hadir sama ialah Penolong Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Nicholas Sebastian David, Pemanca Sii Toh Peng, Penghulu Haji Abdul Samad Haji Abdul Rahim, Penghulu Lee Siang Hua, Pengerusi pengelola Majlis Ramah Tamah, Ketua Kampung, Abdul Karim Mas Atem dan para ketua jabatan di sini.


Pertandingan itu adalah merupakan anjuran bersama JKKK Kampung Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Fasa 1, JKKK Zon Utara Kampung Muhibbah, JKKK Zon Timur Kampung Muhibbah, JKKK Zon Tengah Kampung Muhibbah, JKKK Zon Barat Kampung Muhibbah, JKKK Zon Selatan Kampung Muhibbah, JKKK Taman Harmoni RPR Fasa II dan JKKK Taman Sentosa Indah Sri Aman.

Tamat.


No comments:

Post a Comment