Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 August, 2009

Stok gula di Sri Aman ditambah hari ini - Shamshuddin


Musghot: ABANG SHAMSHUDDIN ABANG SERUJI

SRI AMAN, Selasa (25 Ogos) – Stok bekalan gula di bandar Sri Aman dijangka mencukupi hingga 2 atau 5 September kelak dengan adanya tambahan penghantaran sejumlah 7.5 tan gula dari Kuching pada hari ini.

Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji berkata penghantaran bekalan gula ini adalah berdasarkan permintaan dari syarikat Chop Tai Kung dan Lian Yi yang beroperasi di bandar ini.

“Kedua-dua syarikat terbabit iaitu Chop Tai Kung dan Lian Yii masing-masing telah menambah stok bekalan gula mereka sebanyak 5 ( Chop Tai Kung) dan 2.5 (Lian Yii) tan yang dibawa dari Kuching pada hari ini.

“Ini bertujuan bagi menambah bekalan stok gula yang diagihkan oleh mereka kepada kedai-kedai runcit dalam bandar Sri Aman ini sementara menanti penghantaran seterusnya dari Kuching pada 2 atau 5 September kelak,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pengguna Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin bin Abang Seruji berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Pelancaran Kempen Tanda Harga bertempat di Pasar Tamu, Sri Aman hari ini.

Shamshuddin bagaimanapun menasihatkan para penduduk agar tidak membeli bekalan gula secara panik dengan adanya penghantaran stok tambahan bekalan gula di bandar Sri Aman pada hari ini.

“Penduduk sebaliknya perlu kekal membeli gula pada kadar biasa iaitu dua kilogram dan bukannya membeli lapan hingga 10 kilogram gula gara-gara bimbang akan kehabisan stok terbabit.

“Justeru saya berharap agar penduduk tidak berebut membeli bekalan gula masing-masing lebih-lebih lagi ketika menjelang musim perayaan pada waktu sekarang demi mengelak berlakunya krisis kekurangan bekalan gula selepas ini,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa tiada had akan dikenakan terhadap pembelian bekalan gula dikalangan penduduk dalam bandar ini ketika berlangsungnya sambutan Bulan Ramadhan ini.

Terdahulu Shamshuddin sambil diiringi oleh Ketua Cawangan KPDNKK Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto bin Wan Johari bersama dengan ahli Gerakan Pengguna Bahagian Sri Aman telah melancarkan Kempen Tanda Harga bertempat di Pasar Tamu Sri Aman bermula jam 9 pagi hari ini.

Beliau bersama ahli Gerakan Pengguna Bahagian Sri Aman pada majlis itu telah memantau aktiviti penjualan barangan runcit dikalangan peniaga di Pasar Tamu dan warung penjualan makanan serta minuman berdekatan sambil mengedarkan sekitar 200 keping kad tanda harga terhadap mereka menerusi majlis berkenaan.

Kempen terbabit yang bakal berakhir pada 31 Ogos ini mengkehendaki semua peniaga terbabit untuk mengisi nama barangan runcit, harga dan jumlah unit barangan runcit pada kad tanda harga yang telah mereka terima pada majlis itu.

Tamat.


No comments:

Post a Comment