Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 August, 2009

Sambutan merdeka di sri aman tampak hambar - Shamshuddin




Caption: UNTUKMU...Shamshuddin (tengah) menyampaikan bendera Jalur Gemilang kepada Penolong Jurutera Bahagian Sri Aman, Nasseruddin Abu Jabar (kanan) sambil disaksikan oleh Charles (kiri) ketika berlangsungnya kempen hari ini.

SRI AMAN, Rabu (26 Ogos) – Musim sambutan perayaan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-52 dilihat masih hambar dalam bandar ini berikutan kurangnya tindakan peniaga yang mahu memasang bendera Jalur Gemilang di premis perniagaan masing-masing sehingga masa kini.

Justeru Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin bin Abang Seruji mengalakkan para peniaga meluangkan masa masing-masing untuk membeli dan seterusnya memasang bendera Jalur Gemilang sebelum tibanya sambutan Hari Merdeka pada 31 Ogos ini.

“Anda boleh lihat sendiri betapa hambarnya suasana sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia dalam bandar Sri Aman pada waktu sekarang apabila hampir tiada peniaga yang bertindak memasang bendera Jalur Gemilang di premis perniagaan masing-masing ketika ini.

“Sudah tentunya saya berasa sedikit kecewa melihat keadaan ini kerana apa yang kita mahukan ialah seluruh warga rakyat Sri Aman terutamanya para peniaga menunjukkan sifat Nasionalisme masing-masing dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang di kediaman atau premis perniagaan masing-masing dalam bandar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai menyempurnakan Kempen Kibar Jalur Gemilang anjuran Jabatan Penerangan Sarawak Sri Aman bertempat di hadapan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman di sini hari ini.

Selain itu ketua kaum dari sekitar kawasan daerah Sri Aman ini menurut Shamshuddin juga bakal menerima bendera Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi suasana sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

Bendera Jalur Gemilang ini menurut beliau dijangka akan tiba pada minggu ini dan seterusnya diagihkan kepada setiap kampung atau rumah panjang menerusi ketua kaum masing-masing.

“Justeru saya berharap agar setiap kampung atau rumah panjang yang menerima bendera Jalur Gemilang ini kelak dapat memarakkan lagi suasana sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos nanti,” katanya.

Terdahulu Shamshuddin telah diberi penghormatan untuk mengedar sejumlah 200 buah bendera mini Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya bermula dari jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi.

Disamping itu 50 buah bendera Jalur Gemilang bersaiz standart juga telah diedarkan kepada pemilik premis perniagaan dan jabatan kerajaan dalam bandar Sri Aman bersempena dengan pelancaran kempen tersebut.


Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman / Betong, Charles Sigat anak Ason, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad, Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Sri Aman, Shyennier Jean Serit, Ketua Cawangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sri Aman, Wan Esmanto Wan Rosli dan para ketua jabatan yang lain dalam bandar ini.


Tamat.

No comments:

Post a Comment