Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

20 August, 2009

Penjenayah pecah kereta balik dengan tangan kosong

SRI AMAN, Jumaat (21 Ogos) – Tindakan tiga orang penjenayah yang memecahkan cermin kenderaan pacuan empat roda milik seorang guru dalam bandar ini boleh dikatakan sia-sia apabila mereka hanya berhasil melarikan satu sampul surat kosong dalam kejadian tersebut semalam.

Sebelum berlakunya kejadian kata sumber, pemilik kenderaan pacuan empat roda berkenaan telah meletakkan kenderaannya di hadapan sebuah restoran dalam bandar ini sekitar jam 3 petang untuk berurusan di sebuah bank yang berdekatan.

“Tidak lama selepas itu, kenderaan pacuan empat roda milik guru terbabit yang parkir di hadapan restoran tersebut kemudiannya didatangi oleh tiga orang lelaki dengan menunggang motorsikal masing-masing.

“Kejadian itu berlaku cukup pantas. Seorang dari kumpulan lelaki ini bertindak menumbuk cermin kenderaan pacuan empat roda tersebut dengan mengenakan sejenis alatan khas dan bertindak mengambil satu sampul surat dalam kenderaan tersebut,” kata sumber.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan kemudiannya bertindak melarikan diri menuju ke arah kawasan Temudok yang mana salah seorang daripada lelaki yang menumbuk cermin kenderaan tersebut menunggang motorsikal jenis Yamaha RXZ warna hitam.

Pemilik kenderaan tersebut yang tiba di tempat kejadian bagaimanapun melahirkan rasa lega apabila mendapati ketiga-tiga penjenayah tersebut hanya melarikan satu sampul surat kosong dari kenderaan milik beliau.

Guru terbabit kemudiannya tampil di Balai Polis Sri Aman untuk membuat laporan berhubung kejadian jenayah tersebut.

Tamat.

No comments:

Post a Comment