Mugshot: WILLIAM NYALAU BADAK
ENGKILILI, Ahad (20 Mac) - Penduduk dari kawasan dalam dan luar bandar di Lubok Antu disaran untuk memulakan hala tuju baru bagi mencapai taraf hidup yang lebih baik selepas ini.
Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata demikian ketika berucap merasmikan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) bertempat di Sayat, Engkilili baru-baru ini.
Katanya penduduk terutama sekali mereka yang pernah berselisih faham serta berbeza pendapat dalam bidang politik tidak harus mengenang kisah lama mulai sekarang dan bukannya mengungkit isu lapok menjelang pilihan raya negeri ini.
"Bukankah lebih baik jika penduduk bekerjasama dengan kerajaan bagi memajukan kawasan ini? Barisan Nasional (BN) amat memerlukan bantuan penduduk bagi menjayakan segala pelan pembangunan yang sudah dirancang sebelum ini.
"Mereka tidak perlu terpengaruh dengan hasutan pihak pembangkang kerana ia amat membuang masa dan tidak mendatangkan hasil kepada pembangunan hidup mereka selepas itu," katanya.
Nyalau turut menambah bahawa pembangunan yang mereka nikmati pada masa sekarang adalah hasil sokongan berterusan penduduk terhadap kerajaan dan bukannya kepada pihak pembangkang.
Justeru beliau berharap agar penduduk meneruskan sokongan padu mereka terhadap pihak kerajaan demi kesinambungan pembangunan dalam kawasan masing-masing pada masa akan datang.
Tamat.
No comments:
Post a Comment