Caption: MENARIK...Kedudukan Taman Panorama Benak yang menarik ini nyata mengamit kedatangan pengunjung di masa akan datang.
SRI AMAN, Jumaat (15 Okt) – Taman Panorama Benak nyata memberi nafas baru kepada eko pelancongan Bandar Sri Aman semenjak ia dirasmikan oleh Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada 28 April lepas.
Terletak berhadapan dengan Pejabat Residen Sri Aman, Taman Panorama Benak yang menelan kos pembinaan bernilai RM5 juta ini nyata menjadi tumpuan puluhan orang pengunjung ketika waktu lewat petang pada setiap hari.
Rata-rata para pengunjung membanjiri kawasan Taman Panorama Benak untuk menyaksikan fenomena Benak yang sering menyusuri Sungai Batang Lupar Sri Aman di situ pada waktu yang dinyatakan.
Tinjauan Utusan Sarawak kelmarin mendapati bahawa para pengunjung gemar menjadikan Taman Panorama Benak sebagai lokasi untuk mereka dan keluarga bagi meluangkan masa lapang.
Malahan terdapat di antara para pengunjung ini yang menjadikan Taman Panorama Benak sebagai lokasi untuk mengambil gambar fenomena Benak yang menyusuri sungai terbabit untuk tujuan koleksi gambar peribadi.
Seorang pengunjung, Gilber Meur, 33, berkata kedudukan Taman Panorama Benak yang strategik menyebabkan beliau bersama isteri iaitu Lucy Selamat gemar bertandang ke lokasi terbabit pada petang hari Jumaat dan Sabtu.
“Paling menarik sekali ialah Taman Panorama Benak disambungkan menerusi laluan pejalan kaki yang menuju ke lokasi Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman.
“Landskap di sini amat menyenangkan. Justeru jika ada waktu terluang saya akan membawa isteri saya berkunjung ke Taman Panorama Benak sebaik sahaja waktu cuti umum iaitu hari Jumaat dan Sabtu,” katanya.
Sementara itu Abang Syahairol Abang Rosli pula menganggap Taman Panorama Benak sebagai lokasi pelancongan jangka panjang bagi kawasan Bandar Sri Aman pada masa akan datang.
Katanya Taman Panorama Benak yang sedia ada sekarang dianggap terbaik dari segi kemudahan yang ditawarkan seperti bilik sidang dan sekaligus menjadikan ia sebagai tumpuan untuk pusat pelancongan penting selepas ini.
Tamat.
No comments:
Post a Comment