Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

06 October, 2010

Contohi perpaduan rumah panjang kaum Bidayuh, Mong


Caption: UNTUK ALBUM...Mong (kiri) dan Masir (kanan) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama penerima cek ketika berlangsungnya majlis terbabit.


PANTU, Rabu (6 Okt) – Penduduk kaum Iban dari kawasan rumah panjang dinasihat untuk mencontohi penduduk kaum Bidayuh dalam soal kepimpinan Tuai Rumah masing-masing selepas ini.

Menteri Muda Permodenan Pertanian, Mong anak Dagang berkata ini kerana penduduk kaum Iban dari kawasan rumah panjang lazimnya mudah berpecah-belah hanya disebabkan timbulnya perbalahan mengenai kepimpinan Tuai Rumah masing-masing sebelum ini.

“Penduduk kaum Bidayuh di kawasan Kampung Taee, Serian perlu dijadikan sebagai contoh apabila kesemua 300 orang penghuni kampung di situ hanya mempunyai seorang Tuai Rumah.

“Senario ini berbeza bagi kebanyakkan penduduk kaum Iban rumah panjang apabila 25 orang penghuni rumah panjang misalnya berpecah-belah serta dipimpin oleh tiga orang Tuai Rumah dalam satu kampung yang sama,” menurut beliau.

Faktor kurangnya hubungan semangat perpaduan dan kekitaan dikalangan penduduk kaum Iban rumah panjang sebelum itu katanya telah menjurus kepada berlakunya masalah ini selain daripada masalah kepimpinan Tuai Rumah mereka.

Mong yang juga Menteri Muda Pelancongan dan Warisan berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Dialog Bersama Pemimpin dan Perasmian Majlis Penutupan Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia peringkit Parlimen P.202 Sri Aman Bagi Zon B Bukit Begunan di Rumah Lindang Jemat, Lachau Ili, Pantu kelmarin.

Selain itu kerajaan kata beliau juga tidak melihat berlakunya perpecahan dikalangan penduduk kaum Iban rumah panjang hanya disebabkan oleh pembayaran elaun berjumlah RM450 sebulan kepada Tuai Rumah mereka selepas ini.

“Elaun itu bertujuan untuk menampung keperluan urusan rasmi Tuai Rumah. Malangnya sekarang ini ialah pembayaran elaun terbabit menyebabkan beberapa orang penghuni kaum Iban dari sesebuah rumah panjang itu berebut untuk memegang jawatan Tuai Rumah.

“Inilah yang menjurus kepada faktor perpecahan dikalangan penghuni kaum Iban dari sesebuah rumah panjang terbabit. Jika tidak dikekang sekarang maka penduduk kaum Iban akan hilang asas perpaduannya di masa akan datang,” menurut beliau.

Mong menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukan bernilai RM5,000 untuk JKKK Rumah Lindang dan RM5,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.

Beliau turut menyempurnakan upacara sepak mula Kejohanan Futsal 1Belia 1Malaysia peringkit Parlimen P.202 Sri Aman Bagi Zon B Bukit Begunan di Padang Serbaguna Futsal Rumah Lindang.

Hadir sama ialah Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, Pegawai Tadbir Sosial Pejabat Residen Sri Aman, Zaidi Sarkawi, Penolong Pegawai Jabatan Belia dan Sukan Sri Aman, Mohd Ishrak Ismail, para kakitangan kerajaan dan ketua kaum di sini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment