Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

05 October, 2009

Kerajaan Negeri bijak laksana perubahan - Taib

BETONG, Isnin (5 Okt) – Kerajaan Negeri bijak melaksanakan perubahan yang membabitkan pembangunan ekonomi dan sosial penduduk di Sarawak tanpa menunggu kritikan daripada pihak luar demikian menurut Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

Ini kerana Dasar Politik Pembangunan yang diperkenalkan oleh beliau dahulu telah menyebabkan berlakunya perubahan pesat dari ekonomi dan sosialogi penduduk di Sarawak dengan penuh lancar.

“Berbanding dengan Semenanjung Malaysia, orang di sana fikir bahawa kehadiran lebih ramai pihak pembangkang dalam kerajaan akan membawa lebih banyak perubahan namun soalnya sejauh mana kebaikan langkah itu?

“Nampaknya tidak banyak manfaat yang mampu diperolehi dengan kehadiran ramai pembangkang memandangkan sering berlakunya pertelingkahan dan percanggahan terutama sekali dalam kerajaan yang ditadbir oleh pembangkang setakat ini,” menurut beliau.

Taib yang juga Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Cawangan-Cawangan PBB bertempat di Dewan Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan di Betong hari ini.

Beza perubahan yang dialami oleh penduduk di Semenanjung Malaysia berbanding dengan penduduk di sini kata beliau membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Sarawak mempunyai ‘resepi’nya yang tersendiri untuk membangunkan hidup penduduk.

“Dasar Politik Pembangunan nyata mendapat penyertaan daripada penduduk di negeri kita kerana kerajaan telah merancangkan pelbagai pelan pembangunan demi membawa perubahan terhadap hidup mereka secara beransur-ansur.

“Inilah kelebihan politik Sarawak berbanding dengan politik di Semenanjung. Negeri kita terus kekal aman dengan adanya perubahan dari segi pembangunan taraf hidup penduduk untuk sepanjang masa,” menurut beliau.

Hadir sama ialah Timbalan Presiden I, Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Haji Openg, Timbalan Presiden II, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang, Naib Presiden Kanan, Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Douglas Ugah Embas, Setiausaha Agong, Dr Stephen Rundi, para ahli Majlis Tertinggi PBB, ketua cawangan, para menteri dan menteri muda serta wakil rakyat di sini.

Pehin Sri Taib telah merasmikan mesyuarat perwakilan yang melibatkan 11 buah cawangan PBB antaranya ialah PBB Lingga, Beting Maro, Bukit Begunan, Simanggang, Engkilili, Batang Ai, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka dan Krian.

Beliau kemudiannya berangkat ke Kompleks Pejabat Kerajaan Negeri Betong untuk menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Betong setelah selesai menyelesaikan mesyuarat perwakilan pada jam 12 tengahari.

Tamat.










No comments:

Post a Comment